1MDB Yakin Tandatangani Tiga Berjanjian Pada Akhir Tahun

Posted on
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yakin dapat menandatangani tiga perjanjian untuk menjual aset tenaga, tanah dan ekuitinya menjelang akhir tahun ini yang akan mengumpul dana bagi mengurangkan dengan banyak hutangnya yang berjumlah RM42 bilion.”Jumlah ketiga-tiga transaksi itu boleh menyebabkan hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion dikurangkan atau dibayar balik dalam tempoh tertentu,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda Kandasamy.

1MDB menjangka dapat mengumpul RM16 bilion daripada jualan ekuiti dalam Edra Global Energy Bhd, RM16 billion daripada pertukaran ekuiti hutang dengan dana kekayaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company dan RM10 hingga RM11 bilion daripada jualan tanah dan ekuiti di Bandar Malaysia.

“Sudah tentu, seperti biasa wang tunai akan diperolehi dalam tempoh berkenaan. Berdasarkan perjanjian, sasaran kami ialah menyelesaikanya menjelang akhir tahun ini,” kata Arul Kanda dalam program khas bertajuk ‘Bernama TV dengan Arul Kanda’ dihoskan Suriati Sanusi bersama Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita Ekonomi), Mikhail Raj Abdullah.

Program itu akan disiarkan di Astro 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com. pada jam 10 malam ini.

Arul Kanda berkata, lebih 80 peratus hutangnya adalah dalam jangka panjang, manakala hutang jangka pendek akan diuruskan melalui hasil jualan Edra Energy.

“Jika anda bercakap dengan saya pada akhir bulan, pada ketika itu kami boleh boleh mendedahkan hasil proses jualan Edra Energy kami,” katanya ketika ditanya sama ada 1MDB akan mampu memperoleh harga yang baik daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana perjanjian pembelian tenaga oleh pengeluar tenaga bebas itu akan tamat dalam tempoh yang agak pendek.

Berikutan itu, penganalisis berkata, TNB tidak perlu membayar lebih daripada RM8 bilion untuk aset tenaga terbabit.

Arul Kanda berkata, 11 pihak telah berminat membeli ekuiti dalam Edra Energy dan 1MDB telah mengurangkannya kepada tiga pembida yang telah menyerahkan cadangan akhir dan terikat, termasuk TNB, serta dua entiti asing lain.

Ketika ini, stesen tenaga Edra Energy sedang beroperasi, menjana pendapatan hampir RM5.0 bilion, katanya.

Arul Kanda berkata, 1MDB juga telah menjual tanah bernilai RM1.3 bilion di Tun Razak Exchange (TRX) tahun ini.

Menurutnya, beberapa petak utama tanah berkenaan dijual kepada pemaju tanah terkemuka Indonesia, Mulia Group, di samping Affin Bank, Lembaga Tabung Haji dan rakan kongsi usaha samanya, pemaju hartanah disenarai di Australia, Lend Lease.

1MDB, pemaju induk TRX, membelanjakan hampir RM3.0 bilion untuk pembangunan infrastruktur yang termasuk sambungan terus ke beberapa lebuh raya dari kawasan terbabit, katanya.

Stesen Transit Rapid Massa (MRT) yang akan dibina di TRX akan menjadi yang terbesar di antara tujuh stesen bawah tanah MRT di sepanjang laluan Sungai Buloh-Kajang dan akan kemudian disambungkan ke Serdang dan Putrajaya.

Arul Kanda berkata, kerajaan telah memberi insentif cukai kepada syarikat terbabit untuk beroperasi di TRX yang dijangka muncul sebagai daerah kewangan antarabangsa di Kuala Lumpur.