30,000 Hadir Ceramah Dr Zakir Naik Di Bukit Jalil, Video 4 Orang Peluk Islam

1404 views

Minggu yang paling viral dengan kisah Dr Zakir Naik. Menjadi viral dengan keislaman seorang remaja kristian semasa ceramah beliau di Kemaman, Kuala Terengganu. Ulama pakar perbandingan ugama yang popular di Youtube ini mempunyai kebolehan dalam hafalan. Beliau juga memahami malah hafal kebanyakkan kitab ugama yang lain seperti kitab Injil pelbagai mahzab ,Kitab Taurat dan lain-lain. Berikut adalah berita ceramah Dr Zakir Naik di Bukit Jalil.

Zakir Naik Tour Malaysia

Zakir Naik Tour Malaysia

(Bernama) -- Lebih 30,000 orang menghadiri ceramah Dr Zakir Naik yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka esok bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Orang ramai dilihat tiba seawal 4 petang untuk mendengar ceramah daripada pendakwah Islam itu yang bertajuk 'Is the Quran God's Word?'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Exco Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan antara yang hadir mendengar ceramah berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati ceramah itu turut mendapat sambutan daripada pelbagai bangsa dan agama.

Pasangan kembar beragama Kristian, Darren dan Daryl Cruz, 23, dari Kota Damansara berkata mereka merasa bertuah menghadiri ceramah Dr Zakir pada malam ini selepas mengagumi penceramah itu sejak 2010.

"Kami berdua sering menonton video Dr Zakir di YouTube dan amat kagum dengan hujah beliau yang sememangnya berdasarkan ilmu yang tinggi.

"Malam ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana selain dapat melihat sendiri Dr Zakir, kami dapat memahami sedikit berkenaan al-Quran," kata Darren.

Soon Mei Mei, 22, yang hadir bersama dua rakannya yang berbangsa Cina berkata ia merupakan pengalaman pertamanya mendengar ceramah daripada Dr Zakir.

"Sebelum ini ada pelbagai persepsi mengenai Dr Zakir dalam media sosial sejak beliau mula berceramah di Malaysia dan malam ini saya datang bersama rakan untuk mendengar sendiri ceramah beliau.

Ceramah Dr Zakir banyak memetik ayat al-Quran dan saya terkejut beliau hafal setiap baris dengan baik sehingga mendapat tepukan orang ramai," katanya.

Ceramah Dr Zakir Naik Berjaya Mengislamkan 4 Orang di Bukit Jalil

Selepas seorang gadis bukan Islam memeluk Islam pada ceramah pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik di Kemaman Khamis lepas, empat lagi mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah ilmuan Islam itu di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini Sabtu malam.

Seorang daripada mereka ialah Hurender Bal Singh, 23, dari India yang membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan penjelasan diberikan Dr Zakir berhubung bukan Islam memeluk agama Islam untuk berkahwin.

Sebelum membimbing lelaki itu mengucapkan dua kalimah syahadah, Dr Zakir berulang kali bertanyakan kepadanya jika ada sesiapa yang memaksanya memeluk agama Islam.

"Tidak, tiada siapa yang paksa saya. Saya percaya kepada Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan saya dengan rela hati mahu menjadi seorang Muslim," kata lelaki Punjabi itu dalam sesi soal-jawab pada ceramah yang dihadiri lebih 30,000 orang.

Sejurus selepas Hurender Bal Singh mengucapkan dua kalimah syahadah, seorang wanita yang memakai jubah dan skaf hitam, tanpa menyatakan nama dan dari mana, telah menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam.

Dr Zakir kemudian bertanya kepada wanita itu sekiranya beliau percayakan Allah dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah, dan dijawab wanita itu 'ya' dan Dr Zakir terus membimbingnya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan disusuli sorakan pengunjung sebagai memberi semangat dan ada antara mereka dilihat menitiskan air mata.

Selepas bertanyakan beberapa soalan, seorang lagi wanita yang mahu dikenali sebagai Muchelle mengumumkan ingin mengucapkan dua kalimah syahadah dan dibimbing oleh pendakwah itu untuk berbuat demikian.

Seorang lelaki dari Sarawak, Joel anak Along, 26, berasal dari Miri yang menyatakan telah mempelajari tentang agama Islam sejak beberapa tahun lepas turut memutuskan untuk memeluk Islam selepas bertanyakan kepada Dr Zakir tentang hikmah syahadah.

Khamis lepas, Wu Nina Grace, 19, memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah Dr Zakir dengan disaksikan hampir 40,000 orang di Padang Astaka, Kemaman, Terengganu.

Dr Zakir sedang dalam rangka mengadakan syarahan di seluruh negara yang telah menarik kedatangan ribuan orang untuk mendengar ceramahnya.

Tags: #BIODATA DR. ZAKIR NAIK ULAMA PERBANDINGAN UGAMA DUNIA #ceramah agama zakir naik #ceramah Dr Zakir Naik #Jelajah Dr Zakir Naik di Malaysia #zakir naik malaysian tour #zakir naik mengislamkan pendengar #zakir naik youtube