Air Asia Akan Buat Siasatan – Cicak Dalam Nasi Lemak

646 views

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum dan sedang menyiasat aduan mengenai penemuan cicak oleh seorang penumpang ketika menikmati nasi lemak dalam pesawat milik syarikat itu.

Air asia cicak dalam nasi lemak

Air asia cicak dalam nasi lemak

Bahagian Komunikasi AirAsia, Eugene Siew berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan bagi mendapatkan fakta dan punca pencemaran yang dikatakan oleh penumpang tersebut.

"Pihak kami telah berkomunikasi dengan penumpang itu bagi mendapatkan fakta sebenar, namun apa yang dikesali ialah penumpang itu tidak menyerahkan dengan kadar segera makanan itu kepada kami bagi membolehkan kami mengenal pasti punca pencemaran itu," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Menurut AirAsia lagi, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan penumpangnya.

"Kami sedang mencari fakta sebenar dan menolak sebarang perbuatan khianat," katanya.

Sementara itu, katanya mengenai dakwaan keracunan makanan, pihaknya akan membantu penumpang itu bagi membiayai perbelanjaan perubatan dan masih menunggu laporan dan bil-bil perubatan penumpang tersebut.

"Pihak katerer kami diperakui oleh ISO 22000: 2005 oleh SGS United Kingdom, dan telah mendapat perakuan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, MeSTI oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Gred A, Premis Bersih oleh Majlis Daerah Kuala Selangor," katanya.

Terdahulu, seorang penumpang yang dikenali sebagai Waseem Abbas, 27, memberitahu Sinar Online bahawa dia terkejut kerana menemui seekor cicak ketika menikmati juadah nasi lemak yang disediakan oleh syarikat penerbangan tersebut.

"Dalam beberapa suapan saya rasa macam lain macam sahaja sambal itu , saya tanya isteri ini apa? Isteri kata ikan bilis, saya cakap tidak mungkin ikan bilis mempunyai kaki.

"Saya tanya mereka (penumpang lain), mereka 'confirmkan' ini cicak dan bukan ikan bilis, terus saya loya tekak," katanya.

Selepas itu katanya, dia membawa makanan itu kepada kabin krew dan meminta mereka memeriksa makanan tersebut.

Kabin krew kemudian mahu menukarkan nasi lemak itu dengan hidangan lain.

"Saya tidak mahu, selepas itu tiba sahaja saya di Lapangan terbang Antarabangsa Kuching saya membawa nasi lemak itu balai polis dan membuat laporan," katanya.

Sementara itu, katanya pihak syarikat penerbangan itu ada menawarkan penebusan bayaran balik tiket penerbangan namun katanya dia menolak permintaan itu dan berhasrat mahu membawa kes itu ke mahkamah.

“Saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa, ini melibatkan nyawa," katanya.

Tags: #Air Asia Akan Buat Siasatan #Air Asia Tiket Promosi #Cicak Dalam Nasi Lemak