Apakah Akta Pembayaran Dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA) ?

1282 views

Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA) telah mula dipraktiskan oleh Kerajaan, Apakah itu CIPAA dan aktanya?

CIPAA

KUALA LUMPUR, 15 April – Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 April 2014, telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya, untuk menguatkuasakan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan atau Construction Industry Payment and Adjudication Act (CIPAA)2012.  CIPAA 2012 ini akan mula berkuatkuasa pada 15 April 2014 selari  dengan perasmian Mahkamah Tinggi Pembinaan Kuala Lumpur dan Shah Alam pada 14 April 2014.

Akta ini akan terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

Dengan berkuatkuasanya CIPAA, maka lengkaplah tiga remedi (The Trinity of Remedies) bagi  menyelesaikan pertikaian bayaran dalam rantaian industri pembinaan.

Namun begitu beberapa kategori kontrak pembinaan adalah dikecualikan dari pelaksanaan CIPAA 2012 ini antaranya kontrak dalam kategori keselamatan dan kategori kerja kecemasan.  Namun demikian pengecualian bagi kategori kontrak ini adalah berbentuk sementara iaitu sehingga 31 Disember 2015 agar ianya tidak menjejaskan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-10.

Promosi CIPAA 2012 telah dijalankan secara berfasa oleh KKR dan agensi seliaannya di mana sebanyak 20 roadshow dan taklimat khusus kepada mereka yang terlibat dalam industri pembinaan telah diadakan. Selain itu, Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) sebagai badan adjudikasi CIPAA 2012 juga telah menjalankan lebih dari  30 roadshow  kepada peguam, mahasiswa perundangan, dan mereka yang terlibat dalam rantaian perundangan.

DOWNLOAD AKTA CIPAA - CIDB

[embeddoc url="http://terviral.xyz/wp-content/uploads/2015/12/akta746.pdf" download="all"]

Kes Pertama CIPAA (The Construction Industry Payment and Adjudication Act)

Satu kes yang berkaitan dengan akta CIPA 2012 telah dirujuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini berkaitan dengan ruang lingkup Akta CIPA 2012. Kes ini merupakan kes yang pertama melibatkan Akta CIPA 2012. Alasan penghakiman yang telah disediakan oleh Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi bagi kes ini adalah sebanyak 130 muka surat.

Kes yang dimaksudkan adalah kes UDA Holdings Berhad lwn. Bisraya Construction Sdn. Bhd. dan MRCB Engineering Sdn. Bhd. (didengari bersama) kes Capitol Avenue Development Sdn Bhd lwn. Bauer (Malaysia) Sdn. Bhd. [In The High Court of Malaya At Kuala Lumpur In The State Of Wilayah Persekutuan, Malaysia (Civil Division) Originating Summons No.: 24C-6-09/2014 – Penghakiman bertarikh: 5.12.2014].

Kedua-dua kes yang didengari bersama dalam Mahkamah Tinggi adalah berkaitan bidang kuasa adjudikator di bawah Akta CIPA 2012 berkaitan dengan bayaran yang didakwa masih tertunggak di bawah kontrak-kontrak binaan yang berkaitan.

Dalam hal ini majikan bagi kedua-dua projek telah merujuk kepada Mahkamah Tinggi tentang bidang kuasa Adjudikator yang dilantik di bawah Akta CIPA 2012.

Adalah di dapati, bagi kedua-dua kes yang didengari di Mahkamah Tinggi, kontrak binaan telah dibuat sebelum Akta CIPA 2012 dikuatkuasakan iaitu pada 15.4.2014.

Sehubungan dengan itu tiga persoalan telah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi berkaitan dengan tafsiran ruang lingkup Akta CIPA 2012 iaitu:

Samaada Akta CIPA 2012 terpakai bagi kontrak binaan yang dibuat selepas 15.4.2014 iaitu penguatkuasaan Akta CIPA 2012 adalah secara prospektif
Samaada Akta CIPA 2012 terpakai secara terkebelakang (retrospectively) iaitu tidak kira samaada pertikaian pembayaran itu timbul sebelum atau selepas 15.4.2014, dengan syarat tiada prosiding undang-undang di mahkamah telah dimulakan
Samaada Akta CIPA 2012 terpakai bagi pertikaian pembayaran timbul di bawah sesebuah kontrak binaan pada atau selepas 15.4.2014, dan tidak kira samaada kontrak binaan yang berkaitan dibuat sebelum atau pada 15.4.2014.
Setelah meneliti peruntukan Akta CIPA 2012 serta latar belakang pembangunan Akta CIPA 2012 tersebut, Mahkamah Tinggi berpendapat secara amnya pemakaian sesebuah Akta baru tidak boleh dibuat secara terkebelakang sekiranya ia menjejaskan hak-hak sediaada pihak-pihak yang berkaitan. Sehubungan dengan itu, pemakaian sesebuah Akta baru perlulah dibuat secara prospektif iaitu pada atau selepas tarikh berkuatkuasanya sesebuah Akta tersebut. Namun demikian terdapat pengecualian bagi prinsip perundangan ini.

Dalam keadaan di mana penguatkuasaan Akta baru didapati sebenarnya tidak menjejaskan hak-hak sediaada tetapi hanya melibatkan pengenalan kepada kewujudan forum atau pindaan forum bagi menyelesaikan sesebuah pertikaian yang timbul, maka tafsiran secara Purposive yang menyebebkan pemakaian Akta baru itu secara terkebelakang hendaklah dibuat.

Dalam hal ini Mahkamah Tinggi berpendapat Akta CIPA 2012 sebenarnya tidak menjejaskan hak-hak pihak-pihak yang berkontrak secara substantif. Sebaliknya dengan kewujudan Akta CIPA 2012 ini hanya melibatkan pengenalan forum pertikaian yang baru iaitu dengan merujuk kepada Adjudikator bagi satu keputusan yang cepat.

Mahkamah Tinggi juga berpendapat tafsiran yang dibuatnya itu adalah sejajar dengan tujuan Akta CIPA 2012 dibuat oleh Parlimen iaitu untuk menganjurkan satu forum penyelesaian pertikaian yang cepat, murah dan secara interim.

Akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan Akta CIPA 2012 terpakai bagi kesemua kontrak binaan tidak kira samaada dibuat sebelum penguatkuasaan Akta CIPA 2012 pada 15.4.2014 atau selepas tarikh tersebut dan dengan itu secara tersendirinya dipanjangkan bagi pertikaian pembayaran yang timbul di bawah kontrak binaan yang dibuat tersebut. Namun demikian demikian terdapat pengecualian di bawah Akta CIPA 2012, iaitu apabila rujukan telah dibuat kepada Mahkamah ataupun Timbang Tara sebelum 15.4.2014 di mana rujukan tidak boleh dibuat kepada Adjudikator dalam keadaan ini.

Rumusan

Adalah wajar semua warga JKR peka bahawa meskipun penguatkuasan Akta CIPA 2012 adalah pada 15.4.2014, namun ia tidak menghadkan pertikaian yang timbul bagi kontrak binaan yang telah ditandatangani sebelum 15.4.2014.

Sehubungan dengan itu adalah wajar semua warga JKR menyimpan kesemua dokumen-dokumen berkaitan pembayaran sejajar dengan SAKPKR Bil.3/2015 bertarikh 4.3.2015 demi untuk menghadapi kemungkinan rujukan akan dibuat oleh kontraktor kepada Adjudikator di bawah Akta CIPA 2012.

Tags: #Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan #bidang kuasa Adjudikator yang dilantik di bawah Akta CIPA 2012. #CIPAA #Construction Industry Payment and Adjudication Act #Kes Pertama CIPAA #KKR #projek-projek Rancangan Malaysia Ke-10 #The Trinity of Remedies