APMM Sahkan 2 Mayat Ditemui Mangsa Bot Karam Di Tawau

75 views

[ad_1]

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan dua mayat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat adalah mangsa bot karam di perairan Batu Payung, Tawau.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata mayat pertama seorang lelaki dikenali Amiruddin Beddure dan yang kedua seorang kanak-kanak perempuan dikenali Nur Hafizah Amiruddin, 2.

“Kedua-dua mangsa adalah warga Indonesia. Mayat mereka telah dituntut keluarga dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat, pasukan SAR mengesan dua mayat berkenaan di perairan Kinabutan, Tawau dan perairan Selatan Tinagat bersempadan Indonesia oleh Unit Udara Maritim antara 3.50 petang dan 4 petang.

Setakat ini, 13 daripada 15 mangsa tragedi itu telah ditemui dengan empat selamat dan sembilan lagi meninggal dunia.

Mohd Zubil berkata operasi SAR bot karam di perairan Batu Payung, Tawau yang masuk hari kelima diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa warga Indonesia yang masih hilang.

Dalam kejadian Selasa lepas, bot laju yang membawa 15 warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar kira-kira lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung pada 5.30 petang ketika menuju Sungai Nyamuk, Indonesia.

Mengenai operasi SAR bot pelancong karam di perairan Pulau Mengalum, Mohd Zubil berkata operasi masuk hari ke-16 itu disambung dengan keluasan sektor pencarian merangkumi 300 batu nautika persegi membabitkan sembilan aset.

Operasi SAR bagi mencari lima lagi mangsa hilang itu masih meliputi perairan Sabah, Miri, Sarawak dan Brunei, katanya.

“Setakat pagi ini, tiada sebarang petunjuk baharu yang ditemui namun usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada pihak atasan,” katanya.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut. – BERNAMA

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #apmm #ditemui #karam #mangsa #mayat #sahkan