BANK OF JOHOR Mudahkan Rakyat Buat Pinjaman Perumahan

3276 views

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan keadaan harga barang yang kian meningkat telah menjadi beban kepada rakyat. Mereka yang berpendapatan MYR2500 boleh dianggap miskin bandar. Jesteru itu Sultan Johor yang berjiwa rakyat Sultan Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan. Ini adalah satu perkara yang amat baik dan akan diterima baik oleh rakyat Malaysia.

bank of johor

bank of johor

Bank, yang dinamakan sebagai 'Bank of Johor', berkenaan turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan.

"Dengan rizab wang tunai kerajaan negeri yang mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan serta syarikat milik kerajaan negeri yang mencecah RM7.5 bilion setahun, sudah pasti mereka (kerajaan negeri) boleh menjadi pemegang saham untuk 'Bank of Johor' ini," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Baginda bertitah cadangan itu berikutan ramai rakyat masih tidak dapat memiliki kediaman masing-masing kerana kegagalan mendapatkan pinjaman bank.

Bagaimanapun, baginda memuji usaha kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan kerana terus komited membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

"Saya juga menyambut baik kerjasama yang dihulurkan Bank Rakyat kepada Yayasan Sultan Ibrahim untuk menyediakan pembiayaan pembelian rumah bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

"Urusan pendaftaran permohonan pinjaman ini akan dibuka tidak lama lagi dan pemilihan akan dibuat oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan," titah baginda.

Kemudahan pembiayaan berjumlah RM500 juta itu diumumkan Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal ketika pelancaran Model Menara Bank Rakyat Johor di sini pada 23 Mac lepas.

Ia membolehkan penjawat awam dan swasta yang layak di Johor mengemukakan deposit pembelian serendah RM1 bagi tempahan rumah kos rendah dan mampu milik.

Pembiayaan juga dicadang untuk 6,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman masing-masing.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang terus menyokong dan membantu Johor dalam meneruskan agenda pembangunan ekonomi sama ada dalam bentuk peruntukan kewangan atau penyediaan infrastruktur awam yang dapat menarik minat pelabur untuk bertapak di negeri ini.

Baginda bertitah hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh di negeri tersebut.

Menurut Sultan Ibrahim, walaupun dalam keadaan ekonomi global mencabar kini, Johor masih berjaya mengekalkan rekod tiga tahun berturut-turut bagi nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia dalam bidang pembuatan.

"Bagi 2015, sebanyak RM31.1 bilion nilai pelaburan diluluskan dengan pecahan 90 peratus pelabur tempatan dan 10 peratus pelaburan asing.

"Kerajaan negeri juga berjaya merekodkan lebihan hasil untuk tempoh lima tahun berturut-turut sejak pencapaian itu mula diperolehi pada 2011 dengan lebihan hasil terkumpul sehingga 2015 mencecah RM1 bilion," titah Sultan Ibrahim dengan menambah baginda percaya prestasi memberangsangkan itu didorong urus tadbir negeri dan kewangan yang cekap dan telus.

Sumber BERNAMA

Tags: #Bank of johor #kerajaan negeri johor #rizab wang tunai kerajaan negeri johor #sultan ibrahim #sultan johor bank #Yayasan Sultan Ibrahim