Bayi Dua Bulan Maut Dikelar Ibu Guna Pisau Pemotong

61 views

[ad_1]

KOTA BHARU – Seorang bayi perempuan maut dalam keadaan tragik selepas dipercayai dikelar ibunya sendiri di sebuah kuarters tentera di Kok Lanas dekat sini petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa yang berusia dua bulan maut dikelar ibunya yang berusia 32 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kejadian tersebut disedari oleh jiran suspek sebelum segera melaporkan kepada anggota polis.

Menurutnya, ketika kejadian suami mangsa yang bekerja sebagai anggota tentera berpangkat koperal itu tiada di rumah.

“Kami percaya kes ini dipengaruhi emosi dan mungkin suspek mengalami gangguan emosi.

“Kes ini akan dirujuk kepada pihak hospital bagi mengenal pasti sama ada suspek ada masalah gangguan emosi atau sebaliknya sehingga bertindak ganas dan hilang pertimbangan,” katanya.

Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher kerana dikelar.

Dr. Ab. Rahman berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat sementara suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, polis akan mengambil keterangan daripada jiran kepada pasangan yang berasal dari Tumpat itu untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. – MYNEWSHUB.CC

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #bayi #bulan #dikelar #guna #maut #pisau