Bekas Bauksit: Kenal Pasti Lokasi Takungan Air Berisiko

87 views

[ad_1]

LUNDU – Jabatan Mineral dan Geosains Pahang diarah mengenal pasti semua lokasi yang boleh menjadi tempat takungan air akibat aktiviti perlombongan bauksit.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu penting untuk menghindarkan kawasan takungan air tersebut menjadi masalah kepada penduduk setempat.

Katanya takungan air yang menjadi telaga atau kolam akibat aktiviti perlombongan bauksit itu seharusnya ditimbus semula.

“Jika tanah itu milik kerajaan kita boleh buat sendiri. Tetapi yang menjadi halangan kepada kita ialah jika tanah itu milik syarikat atau individu…jika salah masuk, kita pula dilapor kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas insiden tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang mati lemas di dalam kolam bekas lombong bauksit di Kuantan, Pahang semalam.

Terdahulu beliau melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu di Bilik Latihan Majlis Daerah Lundu hari ini.

Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Pahang perlu bekerjasama untuk kajian secara menyeluruh supaya pagar dibina jika ada aktiviti perlombongan pada masa depan.

“Ini supaya kawasan tersebut tidak dimasuki penduduk setempat. Bagi penduduk mereka juga mereka perlu menasihati anak-anak tidak pergi ke lokasi berbahaya,” katanya. – BERNAMA

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #Bauksit #bekas #kenal #lokasi #pasti #takungan