BKAP1M – Hanya Kerana RM100 Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia

1288 views

Hanya kerana RM100 Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia
Budiman Mohd Zohdi 6 Mac 2016

TIRAI persekolahan anak-anak masuk bulan ketiga. Undangan ke sekolah-sekolah untuk memberikan sumbangan tunai RM100, Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) kepada pelajar terlibat juga masih berterusan.

Saya masih ingat ketika bantuan ini diperkenalkan terdapat segelintir ibu bapa yang memperlekeh. “Dengan RM100, apa yang dapat Waibi?” Saya senyum sahaja. Benarlah kita berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.

Bajet 2016 yang dibentangkan pada 23 Oktober tahun lalu, kerajaan memperuntukkan BKAP1M RM100 kepada golongan yang layak melibatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan RM350 juta.

Bagaimanapun, peruntukan itu tidak sepertimana tahun sebelumnya apabila kerajaan memperkenalkan syarat baharu kelayakan BKAP1M RM100, iaitu hanya diberikan kepada ibu bapa berpendapatan kasar di bawah RM3,000.

Rata-rata ibu bapa yang saya temui merungut dengan keadaan ini. “Waibi, dalam kelas anak saya hanya dua orang tidak dapat RM100. Anak saya salah seorang daripadanya. Apabila kawan-kawan yang lain semua dapat RM100 tu, anak balik menangis dan mengadu kepada saya. Kenapa kawan-kawan lain dapat, dia seorang tidak dapat?”

Keadaan ini memberi kesan emosi kepada murid tersebut, yang mana dia rasa dirinya terpinggir dan diketepikan. Saya bimbang kesan emosi murid-murid ini akan bertukar kepada kebencian jika tidak dirasionalkan hanya kerana RM100.

Ada ibu bapa yang anak mereka tidak layak mendapat BKAP1M meluahkan rasa tidak puas hati kepada guru-guru, hingga ke tahap ada yang menuduh guru terbabit memanipulasi keadaan hingga menyebabkan anak mereka sahaja yang tidak dapat bantuan tersebut.

Simpati juga saya kepada para guru-guru sekolah yang menjadi tempat melepas kemarahan ibu bapa hanya kerana RM100 ini. Mungkin ada ibu bapa yang terlepas pandang bahawa merekalah yang mengesahkan pendapatan mereka melalui borang yang dikemas kini melalui Sistem Aplikasi Data Murid (APDM).

Pada saya, kerajaan perlu mengkaji semula syarat baharu yang diperkenalkan ini dengan mengambil kira keadaan kos sara hidup semasa tanpa mengira, sama ada mereka yang menetap di bandar dan ceruk pedalaman. Sesetengah dalam kalangan masyarakat kita beranggapan, wang bantuan kerajaan RM100 yang diberikan kerajaan itu kecil, tapi bagi mereka yang berpendapatan rendah, nilai itu amat besar ertinya.

Mungkin had kelayakan pemberian BKAP1M ini boleh diperluaskan kepada ibu bapa yang berpendapatan kasar RM4,000 ke bawah supaya golongan ini turut mendapat pembelaan yang sewajarnya. Pada realitinya, golongan ini masih dianggap berpendapatan rendah terutama bagi mereka yang mempunyai tanggungan ramai.

Bayangkan, jika mereka ini bergaji RM4,000 sebulan, tetapi mempunyai empat atau lima anak yang masih bersekolah. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan jika dibandingkan mereka yang hanya mempunyai seorang anak dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Mungkin juga polisi asal diguna pakai, iaitu pemberian BKAP1M tanpa had gaji. Setiap murid layak mendapatnya. Mana-mana ibu bapa yang berpendapatan tinggi dan berasakan mereka tidak sepatutnya menerima bantuan seperti itu, bolehlah menyumbang kembali kepada Tabung PIBG.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, misalnya, dianggarkan setiap sekolah secara puratanya mengalami kemerosotan kira-kira 30 peratus penerima bantuan itu apabila syarat baharu itu diperkenalkan. Pendek kata, ramai ibu bapa mula mempersoalkan bantuan ini. Walhal mereka tahu, mereka tidak lagi layak kerana jumlah pendapatan mereka melebihi syarat ditetapkan.

RM100 yang satu ketika angkanya diperlekehkan rupa-rupanya memberi kesan yang agak signifikan kepada ibu bapa untuk memulakan persekolahan anak-anak mereka. Kalau anak seorang memanglah RM100, tetapi kalau anak lima orang, sudah RM500. Jumlah RM500 ini sudah tentu dapat meringankan beban ibu bapa ketika sesi persekolahan baharu bermula.

Inilah keluh-kesah rakyat akar umbi yang jika kita sebagai pembuat dasar tidak dengar dan ambil peduli, akan menyebabkan mereka berasa diabaikan.

Hanya kerana RM100, ada anak-anak yang balik dari sekolah dalam keadaan murung dan kecewa. Hanya kerana RM100 menyebabkan ibu bapa marah dan rakyat menyalahkan pihak yang terbabit dalam membuatkan dasar ini. Berbaloikah hanya kerana RM100, kita kehilangan kepercayaan daripada rakyat?

Saya percaya ada yang mendengar keluhan ini.

*YB Budiman Mohd Zohdi Presiden SLR Institute. Fokus kajian terhadap isu kepimpinan, penyelidikan politik dan strategik.

Perkongsian dari sumber forum : http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=965166

Tags: #bantuan 1malaysia sekolah #Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia #bantuan rm100 sekolah #BKAP1M #BKAP1M RM100