Bomba Dan PDRM Sebagai ‘frontliner’ Semasa Musim Banjir 2015

275 views
KUALA LUMPUR: Penyelarasan arahan agensi keselamatan perlu diutamakan dalam mana2 kejadian bencana terutamanya melibatkan kepentingan orang ramai.Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis DiRaja Malaysia perlu diutamakan dalam menyelaras dan urusan koordinasi semasa bencana.

"Dalam rombakan Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini, kabinet memutuskan untuk menyelaras arahan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN).

"Kita nak pastikan agar tidak berlaku pertindihan arahan, tanggungjawab dan bidang kuasa yang melibatkan agensi-agensi kerajaan," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Perancang Bandar Sedunia 2015 di sini, hari ini.

Tambahnya, penyelarasan ini penting dalam memastikan urusan mengurus dan menyelamat ketika bencana berjalan lancar.

"Kita perlukan satu garis perintah yang jelas. Jabatan Bomba dan Penyelamat serta PDRM akan menjadi agensi paling depan dan dibantu agensi-agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPA).

"Saya akan perincikan hal ini kepada kabinet sebelum bermulanya tiupan angin monsun timur laut yang dijangka membawa bersama hujan lebat terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung," katanya.

Abdul Rahman turut mengesahkan kesiapsiagaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menghadapi banjir yang dijangka melanda negara bulan depan.

Katanya, sejumlah  277 balai bomba kini sedia berkhidmat bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara akan menjadi seketariat pengurusan bencana negara dalam mengurus sebarang kejadian seperti banjir, kebakaran mahupun bencana alam di kawasan yang terlibat.

Agensi ini ditubuh sebagai pelengkap kepada tugas Majlis Keselamatan Negara yang kini bertanggungjawab mengenalpasti dan mengurus sebarang ancaman nyata dan siber kepada negara.

Tags: #Berita terkini malaysia #Jabatan Bomba dan Penyelamat #Jabatan Pertahanan Awam #PDRM #terkini 24 jam berita