Chong Wei, Frost Profesional Dalam Tangani Konflik – BAM

196 views

 

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Al Amin Abdul Majid percaya Datuk Lee Chong Wei dan Morten Frost Hansen bersikap profesional dalam menangani perselisihan mereka.

Sehubungan itu, Al Amin sekali lagi menegaskan konflik yang tercetus antara ikon badminton negara dan Pengarah Kejurulatih BAM itu, sudah selesai selepas kedua-duanya setuju memberi fokus kepada persediaan menghadapi kejohanan penting tahun ini.

“Saya tidak perlu menjelaskan secara terperinci apa yang diperkatakan Chong Wei ataupun Frost (mengenai konflik mereka) kepada saya. Mereka sangat profesional dalam menangani masalah ini,” katanya.

Konflik antara Chong Wei dan Frost bermula selepas pemain itu mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) dan menyalahkan BAM kerana tidak menghiraukan aduannya mengenai permukaan gelanggang baharu yang licin di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Namun apa yang membuatkan Chong Wei lebih marah adalah apabila Frost dikatakan membuat kenyataan yang seakan memintanya bersara kepada jurulatih perseorangan, Hendrawan sehingga mahu bertindak keluar daripada BAM.

Kecederaan itu turut menjejaskan peluang Chong Wei untuk beraksi di Kejohanan Seluruh England yang bermula dari 7-12 Mac depan.

“Saya tidak memandang ringan perkara ini (konflik mereka), saya sendiri telah bersemuka dengan mereka yang terlibat termasuk Pengurus Besar (Lawrence Chew) dan Setiausaha Kehormat BAM (Datuk Ng Chin Chai) bagi membincangkan permasalahan ini.

“Ketika ini biarlah Chong Wei pulih daripada kecederaanya…saya percaya beliau juga mempunyai matlamat yang lebih penting dalam kariernya selaku pemain terbaik dunia,” kata Al Amin.

Beliau berkata misi utama Chong Wei tahun ini adalah di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pada Ogos, selain membantu skuad negara pada kempen Piala Sudirman di Gold Coast, Australia pada Mei ini.

— BERNAMA

 

Tags: #Chong #dalam #Frost #konflik #profesional #Tangani