Donald Trump Tak Puas Hati

84 views

[ad_1]

LOS ANGELES – Mahkamah di Amerika Syarikat (AS) sebulat suara enggan mengembalikan semula larangan Presiden Donald Trump terhadap pelarian dan rakyat tujuh negara Islam, seterusnya satu lagi tamparan terhadap pemimpin baru itu dan agenda kontroversinya.

Mahkamah rayuan persekutuan di San Francisco – atau dikenali sebagai Mahkamah Rayuan untuk Litar Kesembilan – membuat keputusannya terhadap perintah eksekutif bertarikh 27 Januari itu semalam, seterusnya menutup minggu ketiga pemerintahan kontroversi Trump.

Trump yang nyata tidak berpuas hati dengan keputusan itu menyuarakan perasaannya sejurus selepas ia diumumkan.

“Jumpa di mahkamah, keselamatan dalam negara terancam!” katanya.

Jabatan Kehakiman memohon supaya Mahkamah Litar Kesembilan mengembalikan semula perintah berkenaan atas sebab kecemasan, namun panel tiga hakim semalam mengekalkan arahan penggantungan dikeluarkan seorang hakim persekutuan di Seattle, minggu lalu.

Dalam penghakimannya, mahkamah berkata: “Kami memutuskan kerajaan gagal menunjukkan perintah itu mampu membuahkan hasil, malah turut tidak membuktikan penggantungan perintah itu mampu menyebabkan mudarat.”

Perintah Trump itu secara serta-merta menghalang kemasukan untuk semua pelarian selama 120 hari manakala pengembara dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman pula selama 90 hari.

Pelarian Syria disekat tanpa had waktu.

Pentadbiran Republikan baru itu berhujah sekatan itu penting untuk menghalang kemasukan pejuang Daish dan Al-Qaeda ke AS, namun mencetuskan kontroversi besar-besaran dan dikecam hebat terutama kerana dianggap menyasarkan orang Islam, seterusnya melanggar undang-undang AS sendiri.

Kes itu mungkin bakal didengar Mahkamah Agung.

“Kepentingan awam mempunyai dua sudut. Satu pandangan adalah untuk keselamatan dalam negara dan keupayaan presiden yang dilantik mewujudkan dasar.

“Namun, satu lagi pandangan adalah untuk kebebasan bergerak, mengelak perpisahan di dalam keluarga dan hak untuk tidak didiskriminasi.

“Kerajaan tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa pendatang dari negara-negara yang dinamakan di dalam perintah itu mendalangi serangan pengganas di AS,” kata mahkamah.

Pejuang hak asasi manusia dan pegawai kerajaan memuji keputusan itu selain berazam terus melawan sehingga perintah eksekutif berkenaan dibatalkan secara rasmi.

Buat masa ini, pengembara dengan visa sah masih boleh memasuki AS.

Pentadbiran Trump kini mempunyai 14 hari untuk memfailkan permohonan semakan, sama ada oleh panel sama atau secara ‘en banc’ iaitu oleh semua hakim mahkamah berkenaan.

Satu lagi pilihannya adalah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Agung. – AFP/myMetro Online

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #donald #hati #puas #Trump