Filem Chowrasta Mengangkat Kisah Tan Sri Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar

 

Filem Chowrasta arahan Datuk Prof A Razak Mohaideen, mungkin tidak dapat lagi ditandingi pengarah Malaysia yang lain. Mana tidaknya, sehingga kini, beliau telah berjaya mengarah 38 filem menerusi pelbagai genre.

Terbaharu, pengarah yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (Fita) Universiti Teknologi Mara (#UiTM) ini sekali lagi akan muncul dengan buah tangannya ke 38 iaitu, Chowrasta.

Filem Chowrasta Mengangkat Kisah dari kecil sehingga berjayanya Tan Sri Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar sekarang. Kisahnya benar-benar amat menarik, sedih dan gembira. Dari anak kecil yang zero kepada hero. Sebab dari sisi kehidupan beliau yang lampau banyak yang telah beliau lakukan untuk kejayaan anak-anak bumiputra. Tahniah Tan Sri.

Bakal ditayangkan pada 3 Disember ini, filem ini membawakan genre aksi, komedi dan romantik yang merupakan inspirasi daripada buku Mencorak Destini.

Menurut Razak, filem yang diterbitkan dengan kerjasama UiTM dan Nation Film Studio Sdn Bhd itu agak istimewa apabila penceritaannya banyak menyentuh mengenai memartabatkan bangsa Melayu.

“Walaupun banyak aksi dalam filem itu, tetapi ia diangkat dari kisah benar yang pernah berlaku dalam UiTM ketika masa dahulu.

“Cerita ini mempersembahkan bagaimana pihak universiti membantu seorang penuntut yang berasal dari 'budak gengster' kepada 'budak baik' yang berjaya,” katanya kepada Zass.

Berkongsi lanjut mengenai filem yang diambil sempena nama sebuah pasar di Pulau Pinang iaitu Chowrasta, Razak memberitahu, tujuan utamanya menghasilkan filem seumpama ini adalah untuk menonjolkan jati diri kemelayuan dari pandangan remaja.

“Kenapa pilih nama Chowrasta, kerana hampir 70 peratus penggambaran aksi berlaku di tempat tersebut di mana ketika tahun 70-an ia popular sebagai tempat gengster.

“Di situ juga tempat bermulanya kisah watak utama yang dimainkan oleh penuntut Fita bernama Chem Ammar yang menjadi seorang ahli kongsi gelap kemudian dibentuk menjadi penuntut yang baik setelah memasuki UiTM,” katanya.

Chowrasta mengisahkan perjuangan mengubah destini seorang anak Melayu bernama Hamid yang lahir di dalam kemiskinan. Peluang pekerjaan yang terhad, tahap pendidikan anak Melayu yang rendah dan negara yang menghadapi bahang 13 Mei 1969 menyebabkan manusia berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi walaupun terpaksa meminta-minta.

Kemiskinan mengajar Hamid untuk memperbaiki diri, bercita-cita tinggi, membakar jiwa dan semangat sehingga menjadi salah seorang anak bangsa yang berjaya.

Beliau akhirnya berjaya membawa diri dan keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan. Sejak itu, beliau tekad untuk membantu mencorakkan dan memartabatkan destini anak bangsa menerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara barisan pelakon yang menghangatkan filem tersebut antaranya Datuk Rosyam Noor, Nora Danish, Chem Amar, Fauzi Nawawi, Wan Hanafi Su, Risteena Munim dan Safiah Hanifah.


Jualan tiket RM6 juta Filem Chowrasta

Filem yang berlatar belakangkan tahun 70-an itu memulakan penggambaran pada awal Mac lalu yang turut melibatkan penuntut praktikal fakulti berkenaan.

Razak memberitahu, oleh kerana UiTM kini mempunyai syarikat produksi sendiri yang diberi nama Fita Studio Sdn Bhd, memberi kemudahan kepada penuntut fakulti itu melakukan latihan industri.

“Chowrasta adalah filem pertama produksi ini dan ia memudahkan dan memberi pendedahan terus kepada penuntut untuk bekerja di lapangan sebenar apabila ada penggambaran ketika praktikal mereka bermula.

“Selain penuntut, filem Chowrasta juga mendapat kerjasama 100 peratus daripada kakitangan universiti sendiri terutama pensyarah fakulti Fita.

“Pensyarah yang terlibat dalam masa sama dapat memantau terus penuntut mereka ketika melakukan praktikal untuk pelbagai bahagian dalam produksi filem Chowrasta,” katanya.

Walaupun ia hasil pertama produksi Fita dan penuntut praktikal Fita, namun sehingga kini berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton terutama penuntut UiTM sendiri.

“Ia turut memberi kebanggaan kepada kami apabila filem Chowrasta diiktiraf dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya mengumpul 4,416 orang penonton pada tayangan perdananya pada awal Jun lalu.

“Dan kutipan yang kami berjaya peroleh ketika tayangan perdana itu adalah RM200,000.

“Kejayaan tersebut merupakan hasil usaha dilakukan sepenuhnya daripada pelajar Fita yang melibatkan 60 penuntut dan 25 pensyarah. Mereka bertungkus lumus merealisasikan tayangan filem tersebut,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini juga, Razak memberitahu, filem tersebut juga berjaya memperoleh jualan tiket hampir RM6 juta setelah ditayangkan di Perancis.

“Ia hasil yang telah menguntungkan dan balik modal bagi kami di mana kos awal pembikinan filem adalah sebanyak RM1.5 juta,” katanya.
Upah pakar tomoi

Razak sebagai pengarah mengakui filem Chowrasta itu ada cabarannya tersendiri terutama apabila melibatkan banyak adegan aksi.

“Kami terpaksa menggunakan pakar tomoi dari Thailand untuk melatih pelakon beraksi dalam adegan pertandingan tomoi.

“Selain itu, filem ini mencabar kerana banyak adegan aksi melibatkan kumpulan gengster. Sebelum ini, saya lebih banyak adegan komedi dan romantik, tetapi kali ini banyak aksi.

“Justeru, banyak yang dipelajari dan perlu mendapatkan khidmat pakar untuk menjadikan aksi itu nampak semula jadi,” katanya.

Dari segi pelakon, jelas Razak pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah kerana walaupun ramai antara pelakon adalah muka baharu tetapi semuanya memberikan komitmen terbaik.

“Pelakon utama seperti Rosyam Nor, Nora Denish, Fauzi Nawawi memang tiada masalah, mereka memberi kerjasama sebaiknya.

“Oleh sebab itu, penggambaran filem ini berjaya dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Hadiah kepada Alumni UITM

Selain sebagai hiburan, pengarah Anak Mami The Movie ini turut memberitahu, penghasilan filem tersebut seperti satu hadiah kepada bekas penuntut UiTM.

“Filem ini merupakan hadiah kepada Alumni UiTM supaya mereka akan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh UiTM dalam mengubah destini anak bangsa serta tidak melupakan jasa yang dicurahkan.

“Dalam kita ghairah mengejar cita-cita masa kini kebanyakan orang lupa dengan asal usulnya dan tidak pandang ke belakang semula untuk membantu orang memerlukan serta ada yang sanggup memperlekeh tempat asal usul,” katanya.

Justeru, harapan besar pengarah ini nanti agar filem tersebut mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Insya-ALLAH berdasarkan sambutan dan maklum balas penonton ketika tayangan perdana dahulu, ramai antara mereka mahu menonton semula filem ini buat kali kedua.

“Saya tetap yakin walaupun ada antara penuntut sudah menonton dahulu, tetapi mereka pasti akan menonton kembali sebagai tanda sokongan kepada hasil tangan pihak universiti.

“Selain jalan cerita yang lain dari yang lain yang pastinya memuaskan hati setiap penonton,’ katanya.

Ihsan berita : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/kisah-benar-dari-uitm-1.441176

Tags: #Dekan Fakulti Filem #Filem Chowrasta #Fita Studio Sdn Bhd #Kisah benar dari UiTM #Nation Film Studio Sdn Bhd #Tan Sri Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar #Teater dan Animasi (Fita) Universiti Teknologi Mara #Universiti Teknologi Mara (UiTM)