Filem Ola Bola “Sedih, Gembira Dan Kepuasan Disebalik Skuad Bolasepak Malaysia 1980”

Menonton Filem Ola Bola karya Chiu Keng Guan membuat saya sekajap tersenyum dan sedih. Diakhir cerita membuatkan pipi terasa basih dengan titisan air mata kepuasan gembira, menyelam ke zaman kegemilangan bola sepak 1980.

"...Era kegemilangan pasukan kita...
Kami bersama-sama berjuang dalam keterikan panas mentari...
Dalam kehujanan...
Dan bermandi keringat serta tangis...
Kami mungkin bicara bahasa berbeza...
Namun kami tetap nyanyikan lagu yang sama..
Hidup ini memang sukar diramal masa hadapannya...
Kami terima ketentuan takdir...
Tapi kami tidak pernah mengaku kalah...
Yang saya tahu...
Pengakhirannya kami berjaya...
Kita menang sama-sama...
Kita kalah sama-sama...".

Ini untaian kata oleh Tauke atau Kwok Keong di babak-babak akhir filem Ola Bola. Pelantun suara dan susuk jasadnya, pasti ramai sedia maklum, 'centurion' dan 'kapitan' negara, 'libero' paling tenang di dunia, Soh Chin Aun a.k.a. 'Tauke'.

Filem Ola Bola, seperti jua lain-lain filem bergenre sama di dunia; antaranya Miracle of Bern, Goal, Escape to Victory, The Damn United, Invictus, Chak De, sekadar menyebut beberapa misalan, memaparkan sisi penghidupan sebenar kisah atlet sukan.

Berinspirasi dari kejayaan skuad negara layak secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Ola Bola diolah cukup sempurna. Dari awal mula layar dibentang, penonton yang mana-mana memang kaki bola, cuba mengagak kesamaan watak dalam filem tersebut dengan individu sebenar dalam skuad negara di era itu.

(Yang mana memang Retrorians RBS, pastinya dengan mudah boleh menduga setiap watak itu milik legenda yang mana).

Bila nama 'Shamsul Super 10' disebut-sebut, ramai juga dah boleh duga watak Shamsul itu milik siapa.

Pengaruh Shamsul begitu kuat dalam pasukan. Anggota pasukan masih terasa ketiadaan Shamsul, menunjukkan kebergantungan pasukan pada kualiti Shamsul itu sendiri. Shamsul bukan calang-calang pemain. Kalibernya disegani teman.

Babak pertelingkahan dalam bilik persalinan, dengan pertikaian jersi nombor 10 buatkan penonton rasa si Shamsul itu memang benar-benar hebat meski sampai filem tamat sekalipun, watak dan rupa Shamsul itu langsung tidak dijelmakan.

Kasut but jenama Adidas Copa Mundial, lilitan 'bandage' pada buku lali, seluar pendek singkat, berlatih dengan sekadar berbaju-T biasa, stokin nya pelbagai rona, itu lah ciri-ciri pemain bola sepak bertaraf amatur. Ola Bola telah seboleh mungkin menghidupkan nuansa suasana Malaysia di awal tahun 1980an.

Tapak 'funfair', kereta Fiat, motosikal kapcainya, peti TV yang perlu diselaraskan 'aerial' nya tiap masa, busana pakaiannya, air berperisa dalam botol kaca, gaya rambut para pelakon, suasana dalam stadium, lopak-lopak dan lecah padang, papan iklan di trek stadium, mendengar ulasan perlawanan di radio, jiran tetangga sesama berbondong menonton peti TV nan satu, para penyokong samada yang di stadium, di atas tembok mahupun pokok, dan pelbagai lagi elemen era itu, nyata bikin penonton seolah dibawa jelajah merentas masa merasai suasana serba sederhana dan ringkas di tahun 1980an.

Pagi bekerja, petang berlatih malamnya bertagak dalam perlawanan, itu lah lumrah para pemain bola sepak ketika itu. Kwok Keong, Muthu, Ali, Eric semuanya berlainan latar dan punyai cabaran penghidupan sendiri.

Sanjeet yang banyak mendiam, 'silent leader' dalam pasukan. Keletah Tiam Chai sangat menghiburkan. Tiam Chai tidak pernah putus harapan untuk diturunkan meski selama itu sekadar memanaskan bangku simpanan, sesuatu yang harus dipuji. Beliau main untuk negara, bukan untuk diri sendiri.

Tidak lupa ketegasan si jurulatih Inggeris, inspirasi dari watak pengendali Jerman, Karl-Heinz Weigang, berani menggugurkan pemain senior dari kesebelasan utama, berani mengubah posisi pemain mengikut kesesuaian, dan menerapkan formasi taktikal baharu.

Kisah penghidupan...

Konflik Muthu dan bapanya, dengan gelagat tiga orang adik-adiknya, itu sesuatu yang lumrah dalam mana-mana susuk keluarga sekalipun. Si sulung akan cuba sedaya mungkin membantu, walaupun kadang-kala dimarah oleh orang tua. Adik-adik yang masih kecil, melihat abang mereka menyarung jersi negara, itu satu kebanggaan. Muthu sudah menunjuk contoh dan ikutan yang baik untuk adik-adiknya.

Ramai barangkali setuju bahawasanya selain kelucuan Tiam Chai dan usikan Abu, gelagat tiga adik-adik Muthu antara salah satu elemen yang bikin kita tidak kering gusi tersenyum ketawa.

Sebelum itu, sudah dipaparkan sisi hidup Kwok Keong. Keluarganya yang hidup sekadar cukup, si ibu gigih menanak sup untuk anaknya, adik Kwok Keong yang cantik mulus, Mei Ling yang gigih melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk membantu menyara keluarga, terutamanya untuk dua adik perempuan mereka yang masih bersekolah, memang berat tugas si Tauke sebenarnya. Buah hati Kwok Keong hanya berkerja di tapak 'funfair', begitu setia Kwok Keong ambil dan hantar Siew Ling dari tempat kerja.

Adik Kwok Keong, Mei Ling yang disindir-umpat dek teman sekerja, ambil upah menjahit, paginya turun menoreh, walau muncul dalam beberapa babak, Mei Ling telah beri tafsiran lakon yang sangat mantap.

Babak menjemur getah antara Mei Ling dengan abangnya Kwok Keong, jujurnya itu lah babak paling menduga jiwa. Mata macam menahan sebak debur titis tangis, tapi hati dah berpiluan sendu.

Pengorbanan si adik itu mungkin untuk abangnya, untuk keluarganya, tapi di sebalik itu merupakan pengorbanan untuk negara juga. Kwok Keong milik Malaysia, apa yang baik untuk Kwok Keong baik juga untuk negara.

Muncul Rahman sedari awal durasi filem, sahabat juga kepada Kwok Keong, dari sekadar budak pejabat, beliau akhirnya mendapat peluang menjadi pengulas dalam perlawanan bersejarah, dengan gaya ulasan bersahaja dan tersendiri. Saat kemunculan secara tiba-tiba 'Big Boss' ke dalam konti memang buatkan penonton tersenyum. Itu legenda pengulas sukan 'numero uno' negara, satu-satunya Dato Rahim Razali. Pengakhiran filem, penonton baru ketahuan rupanya Rahman yang dahulu, menjadi pencetus pencarian jejak kisah Sukan Olimpik Moscow 1980. Dan Rahman yang sekarang, cukup berjaya dalam kariernya...

Aspek teknikal filem Ola Bola, pada hemat penonton biasa memang bagus. Umumnya semuanya mantap.

Paparan dari udara begitu banyak pemandangan lokasi seperti hamparan pantai dipukul ombak, alur sungai yang sesak dengan perkampungan nelayan di kiri dan kanan, bentangan sawah bendang sesaujana mata memandang, gunung-ganang dan perbukitan, hutan menghijau serta lubuk berpaya, keretapi lama menderu di landasan yang membelah hutan, buatkan penonton terdetik betapa banyak lagi lokasi-lokasi indah di serata negara. Memang cantik.

Babak kobar jiwa lagi banyak. Nyanyian lagu 'Inilah Barisan Kita' dalam helikopter Nuri, detik bergaduh dalan bilik persalinan, dimarahi jurulatih Inggeris, sorakan padu Stadium Merdeka, kibaran bendera Malaysia, keraian setiap kali Malaysia jaringkan gol, sindiran tajam pemain Korea Selatan, tempoh rehat separuh masa yang sangat kritikal bilamana ramai dapat tahu Malaysia sebenarnya telah memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980...

Kobar jiwa jiwanya yang maha-grandé!

Filem Ola Bola ini 'masterpiece' dalam genre nya. Ia wajar diangkat selaku filem patriotik, sama angkatan dengan filem Bukit Kepong, Kami, Darah Satria dan Leftenan Adnan.

Ola Bola satu contoh filem yang dibikin seteliti mungkin. Ia tidak dibuat sekadar duduk bersembang di kedai kopi. Ola Bola memerlukan kru penerbitan bertemu bekas-bekas pemain, menyemak arkib milik beberapa pihak seperti stesen TV dan akhbar, mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif seperti pengumpul jersi, keratan majalah dan akhbar serta wartawan era itu dan begitu rumitnya penyelidikan filem ini, hasilnya sangat-sangat cemerlang!.

Cetusan dialog-dialognya akan kekal bugar menjadi bualan satira nasional.

"..Tengok warna kulit kita sama tidak?..".

"..Cabin crew, ready to take-off..".

"..Tiap kali keluar bilik air, Malaysia mesti kena..".

"..Chai, you simpanan saja maa..".

"..Main bola sepak, apa yang abang dapat..".

"..Tiada siapa boleh ganti jersi nombor 10 Shamsul..".

"..Football is about teamwork..".

Dan pastinya, dialog terbaik Ola Bola...

"..KITA MENANG SAMA-SAMA, KITA KALAH SAMA-SAMA..".

Sesungguhnya Ola Bola penuh jiwa!.

Tags: #Filem Ola Bola karya Chiu Keng Guan #pemain sebenar filem ola bola #Skuad Bolasepak Malaysia 1980