Guan Eng – ‘Kenapa PAS Nak Melenting DAP Mahu Bertanding Kawasan Mereka?’

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PAS tidak perlu melenting berhubung hasrat DAP Selangor untuk bertanding di beberapa kerusi milik PAS pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.Kata Guan Eng, tindakan itu bukanlah  suatu perkara luar biasa, kerana PAS baru-baru ini telah menyatakan kemungkinan untuk bertanding di kerusi milik DAP.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau mengalu-alukan hasrat PAS untuk bertanding di kerusi milik DAP kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang wajar dihormati.

“Bukan DAP yang mulakan. PAS yang mulakan. Saya pun terkejut mengapa mereka yg memulakan. Apabila kita menyatakan minat untuk bertanding dalam kawasan PAS mereka pula melenting. Mengapa pula melenting jika mereka yang mulakannya dulu?

“Apabila mereka sebut bahawa hendak bertanding dalam kawasan-kawasan DAP termasuk di kawasan saya di Ayer Putih, saya dengan hati terbuka menyatakan bahawa saya mengalu-alukan hasrat mereka kerana ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi,” ujar Guan Eng dalam sebuah sidang media pada Isnin.

Tambahnya, PAS perlu hormati proses tersebut dan sesiapa sahaja bebas bertanding namun sokongan daripada pengundi nanti yang akan jadi penentunya.

Guan Eng mengulas kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang  menyuarakan hasrat DAP untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  milik PAS di Selangor, pada PRU14.

Bagaimanapun, Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata perkara itu akan diperhalusi dalam mesyuarat Pakatan Harapan Selangor terlebih dahulu.

Lapan kerusi DUN Selangor yang disandang oleh PAS adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang merancang untuk bertanding di kerusi milik DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan tersebut dilihat sebagai serangan balas terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) yang menunjukkan kecenderungan bertanding di kerusi milik PAS.

Parti Amanah ditubuhkan oleh bekas pemimpin-pemimpin PAS baru-baru ini untuk bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membentuk pakatan pembangkang yang baharu, Pakatan Harapan, bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS.

Pakatan Rakyat terbubar berikutan keretakan hubungan antara PAS dan DAP berhubung bantahan parti itu terhadap hasrat PAS untuk meneruskan agenda memperkenalkan undang-undang hudud di Kelantan.

Tags: #Berita terkini malaysia #DAP vs PAS #terkini 24 jam berita