Harimau Malaysia Akan Harungi 10 Perlawanan Persahabatan Demi Maruah

458 views

Demi maruah bolasepak negara yang semakin jauh kebelakang dari segi ranking FIFA, Datuk Ong Kim Swee perlu mencari ramuan terbaik untuk mencorak pasukan negara. Jika dilihat Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain tetapi pemilihan pemain untuk mewakili negaralah yang selalu menjadi masalah. FAM seharusnya bergerak bersama persatuan bolasepak negeri mencari bakat terpendam pemain bolasepak di pelusuk negeri dan memastikan kita tidak ketandusan pemain seperti masa sekarang.

Skuad Harimau Malaysia Perlawanan Antarabangsa

Skuad Harimau Malaysia Perlawanan Antarabangsa

Perkara paling penting untuk menaikkan ranking dan persefahaman antara pemain, Sebanyak 10 perlawanan persahabatan antarabangsa sudah dirancang untuk skuad kebangsaan dalam usaha memperbaiki kedudukan memalukan Malaysia di tempat ke-174 dalam ranking dunia.

Langkah segera diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu adalah berikutan kritikan hebat daripada orang ramai terhadap prestasi skuad Harimau Malaysia.

Malaysia yang kini berada di kedudukan paling buruk dalam ranking dunia, sudah merencana 10 perlawanan persahabatan antarabangsa Kelas A dan kem latihan pusat skuad kebangsaan selama 129 hari.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata langkah pertama adalah perlawanan persahabatan dengan Myanmar yang berada di ranking ke-166 dunia di Yangon pada 27 Mei, sebelum menghadapi aksi kelayakan ketiga Piala Asia 2019 berdepan Timor Leste pada 2 dan 7 Jun.

Kim Swee berkata FAM juga sudah berusaha mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan lain, namun mereka sibuk dengan perlawanan liga dan serantau masing-masing, dan hanya Myanmar pasukan yang sesuai sebagai persediaan pemain negara sebelum menentang Timor Leste.

Datuk Ong Kim Swee Harimau Malaysia

Datuk Ong Kim Swee Harimau Malaysia

Selain itu, FAM juga memutuskan tidak mahu membuang masa dalam tempoh rehat selama sebulan Liga Super dan Perdana semasa bulan Ramadan, dengan mengadakan perlawanan persahabatan berdepan Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) semasa Jelajah Ocenia selama 17 hari.

"Memang ada mempersoalkan kenapa kita bertemu tiga lawan lebih rendah ranking berbanding kita. Tapi semua kena faham, skuad Harimau Malaysia dalam proses membina semula keyakinan, reputasi pasukan dan juga mendapatkan rentak kemenangan," katanya pada sidang media bulanan FAM yang pertama di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

"Jadi saya fikir selepas perlawanan playoff menentang Timor Leste, tiga aksi persahabatan dengan pasukan dari Ocenia itu penting untuk saya menguji pemain dan pada masa sama, kita memerlukan kemenangan bagi memperbaiki ranking.

"Selepas tiga perlawanan pada bulan puasa ini, saya sudah merancang perlawanan lain bagi mengisi kesemua tarikh dalam kalendar FIFA sepanjang 2016, dan tarikh akan dimaklumkan selepas mendapat pengesahan," katanya.

Semasa aksi persahabatan itu, Kim Swee berkata fokus beliau adalah terhadap corak serangan dan gerakan di bahagian tengah dalam usaha meningkatkan ketajaman dalam menjaringkan lebih banyak gol.

Skuad Harimau Malaysia juga akan menjadi tuan rumah berdepan Singapura pada 1 Sept, selain beberapa lagi aksi persahabatan yang dijangka pada 28 Ogos, 30 Sept, 10 Okt serta 7, 10 dan 13 Nov, di samping beraksi di kelayakan pusingan ketiga Piala Asia dan Piala AFF Suzuki dari 19 Nov hingga 17 Dis di Filipina dan Myanmar.

"Sekiranya kita tewas berdepan Timor Leste, kita terpaksa bermain satu lagi playoff menentang Taiwan atau Kemboja pada 6 Sept dan 11 Okt," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin juga mengesahkan bahawa perlawanan membabitkan skuad kebangsaan akan diadakan di beberapa negeri bagi memberi peluang kepada peminat melihat aksi pemain negara.

"Sebelum ini, pasukan bawah 22 tahun bertemu Nepal dan Filipina B-22 di Negeri Sembilan, manakala skuad kebangsaan menentang Macau di Melaka. Selepas ini kita akan bermain di Johor menentang Timor Leste.

"Kemudian kita akan beraksi di Sabah, Sarawak dan juga di Utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Tags: #Datuk Ong Kim Swee Harimau Malaysia #Harimau Malaysia #live streaming perlawanan antarabangsa harimau malaysia #Perlawanan Persahabatan Antarabangsa #Skuad Harimau Malaya