JDT Pinjamkan Dua Pemain Kepada Negeri Sembilan Musim 2016

3656 views
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal meminjamkan dua pemain berdarah campuran yang akan menandatangani kontrak dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada pasukan Negeri Sembilan.Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya berkata dua pemain berkenaan ialah Kevin Gunther dan Daniel Ting, masing-masing berusia 22 tahun.

Dalam entri terbaru dalam laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, Mohd Fahmy berkata kedua-dua pemain itu akan dipinjamkan setelah proses naturalisasi pemain berkenaan untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia selesai

Ayah Ting dan ibu Gunter masing-masing berasal dari Sarawak dengan Ting dilahirkan di United Kingdom (UK) manakala Gunter dilahirkan di Switzerland.

Selain itu, katanya, Samuel Jacob Somerville yang merupakan pemain kelahiran UK akan beraksi bersama pasukan Liga Super JDT manakala baki pemain seperti Curran Ferns yang dilahirkan di Australia dan Stuart Wark (Scotland) akan beraksi untuk pasukan Liga Perdana JDT II.

Beliau menjelaskan pengambilan pemain berdarah campuran berkenaan merupakan antara visi dan inovasi Penaung Diraja PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memajukan lagi sukan bola sepak di negeri Johor.

Beberapa laporan di media sosial sebelum ini mendakwa lima pemain berkenaan telah menjalani latihan bersama pasukan JDT sejak pertengahan tahun ini.

Tags: #berita sukan terkini #sensasi sukan malaysia #sukan malaysia #The Southern Tigers