Kampung Semangat ‘Penamat Banjir’ Di Pahang

81 views

[ad_1]

KUANTAN – ‘Banjir pada waktu panas’ bukan situasi baharu kepada penduduk Kampung Semangat di sini, kerana lazimnya banjir akan melanda kampung itu semasa keadaan di kawasan lain di Pahang mulai surut.

Penghulu kampung itu Kadri Ahmad, 60, berkata mereka sudah biasa benar dengan gelaran ‘penamat banjir Pahang’ dan menganggapnya sebagai pengenalan kepada kampung itu, yang terletak bersebelahan daerah Pekan.

“Untungnya sebagai penamat banjir, kami boleh menjangka bila banjir akan melanda. Ini membolehkan kami membuat persediaan terutamanya memindahkan ternakan dan barangan ke tempat tinggi.

“Bantuan juga senang diperoleh kerana kami mangsa terakhir. Apabila banjir di kampung ini surut, bermakna tamatlah musim bah di Pahang,” katanya semasa ditemui Bernama di sini.

Banjir di Kampung Semangat lazimnya disebabkan air hulu Sungai Pahang ‘turun’ ke kuala Sungai Penor yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Kampung Semangat, sebelum mengalir ke laut.

Berdasarkan rekod Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, daerah Kuantan kembali membuka pusat pemindahan banjir pada Selasa lalu (1 Feb) selepas Kampung Semangat dinaiki air, sementara daerah Temerloh, Bera dan Maran mulai mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir.

Bagaimanapun, Kadri berkata situasi banjir disebabkan air pasang, hujan lebat dan air hulu turun pernah berlaku, iaitu semasa banjir besar tahun 1971 yang menyebabkan kampung itu ditenggelami air selama 63 hari.

“Itu situasi paling teruk pernah dialami. Kampung ini tenggelam sepenuhnya dan kami dipindahkan ke Ubai di Pekan. Waktu itu, kawasan Ubai pun hampir separuh ditenggelami air. Hanya ada sebuah sekolah yang sesuai dijadikan pusat pemindahan bencana,” katanya.

Perkara sama diceritakan penduduk asal Kampung Semangat, Muda Abdul Latif, 63, yang berkata beliau masih ingat semasa masih di Darjah Satu, diusung ayahnya untuk ke pusat pemindahan itu dengan menaiki sampan.

Beliau berkata banjir tiga penjuru – hujan, air pasang dan air hulu – berulang pada 2013, menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke ‘rumah sementara’ di Penjara Penor di sini selama lapan hari, namun situasinya tidak seteruk banjir 1971.

“Ada sesetengah orang luar tidak percaya bagaimana Kampung Semangat boleh dilanda banjir sedangkan kawasan kami bukan berhampiran sungai, tetapi bersebelahan ladang kelapa sawit.

“Jika di kampung seperti Ganchong, Acheh, Temai dan Mambang di Pekan memang tidak pelik, malah sepatutnya banjir kerana kedudukannya yang bersebelahan Sungai Pahang,” katanya.

Muda yang juga anggota jawatankuasa pemindahan Kampung Semangat berkata berdasarkan pengalaman, mereka akan mula berjaga-jaga apabila mendengar banjir melanda daerah Temerloh dan Maran.

Katanya air banjir di bahagian Pahang Barat itu kebiasaannya mengambil masa selama seminggu sebelum ‘tiba’ di Kampung Semangat.

Muda berkata selain alur sungai, air hulu Sungai Pahang juga ‘disalurkan’ ke Kampung Semangat melalui longkang-longkang yang dibuat di ladang-ladang kelapa sawit berhampiran.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata walaupun tidak dibuktikan secara saintifik, kejadian banjir Kampung Semangat dipercayai menjadi penanda aras penamat banjir di Pahang sejak dahulu, terutamanya oleh warga emas.

“Memang banjir di sini agak pelik. Hujan tiada, air pasang tak berlaku malah hari terik pun kita akan buka pusat pemindahan banjir dan lazimnya banjir di sini berlaku agak lama.

“Paling cepat pulih pun biasanya akan mengambil masa antara lima ke seminggu. Itu berdasarkan pengalaman lalu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Beliau berkata setakat ini ada dua pusat pemindahan sementara yang dibuka kepada penduduk Kampung Semangat iaitu dewan serbaguna kampung itu yang menempatkan 38 keluarga dan Penjara Penor seramai 13 keluarga.

“Banjir besar pada tahun 2013 menyebabkan mangsa yang ditempatkan di dewan serbaguna dipindahkan ke Penjara Penor kerana air terlalu tinggi sehingga boleh menaiki bot untuk masuk ke dalam dewan.

“Bagaimanapun, tahun ini keadaan tidak seteruk yang lalu dan banjir di Pahang juga semakin surut dengan daerah Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera telah menutup pusat pemindahan sementara mereka,” katanya.  – BERNAMA

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #Banjir #kampung #PAHANG #semangat