Kerajaan Dicadang Wujud Mekanisme Baharu Tambah Baik Pemberian BR1M

287 views

KUALA LUMPUR: Seorang Anggota Parlimen dari Selangor pada Rabu mencadangkan beberapa mekanisme baharu diwujudkan bagi menambah baik pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan kumpulan sasaran.Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berkata penambahbaikan itu merangkumi penerima BR1M boleh dikategorikan kepada dua kumpulan sasaran iaitu penerima di kawasan bandar dan luar bandar.

"Melalui mekanisme baharu ini, penggunaan BR1M bagi kedua-dua kategori penerima perlu dihadkan kepada pembelian keperluan asas sahaja serta melalui kedai atau pusat pembelian yang diwujudkan atau dilantik khusus," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Irmohizam berkata penerima di kawasan bandar juga perlu menggunakan BR1M melalui sistem elektronik sahaja manakala penerima luar bandar pula boleh mengaplikasikan penggunaan baucer bagi mengelakkan berlaku ketirisan atau salah guna terhadap bantuan yang diberikan.

Sambil menyambut baik langkah kerajaan meneruskan bantuan itu, beliau berkata apa yang penting konsep BR1M ialah meringankan beban rakyat bukannya menyara kehidupan rakyat.

Dalam pada itu, mengulas isu harga rumah mahal, beliau berharap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat memberi kelonggaran kepada pengeluaran bagi pembelian rumah pertama tanpa mengira had umur.

"Harga rumah di negara ini adalah 4.4 kali ganda lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat dan boleh dikategorikan sebagai harga yang sangat tidak mampu dimiliki," katanya.

Sementara itu, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) ketika membahaskan rang undang-undang yang sama berkata kerajaan wajar mempertimbangkan pendapatan sebenar yang dibawa pulang, dapat dibelanjakan oleh rakyat dan bukan terhenti setakat pendapatan kasar sahaja.

"Mungkin gaji minimum berjumlah RM1,000 nanti nampak seakan mencukupi, tapi kalau dilihat dengan teliti tentang gaji sebenar yang boleh mereka (rakyat) belanjakan masih lagi satu jumlah kecil," katanya yang mengulas pelaksanaan gaji minimum.

Beliau berkata kerajaan juga wajar meningkatkan pelbagai program pembangunan terutama bagi golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

"Sebagai contoh jika peluang diberi kepada mereka seawal usia 18 tahun dan mereka mampu meraih pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan, sudah pasti dalam masa 10 tahun akan datang mereka berupaya memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Khamis.

Tags: #Berita terkini malaysia #BR1M 2016 #Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) #terkini 24 jam berita