Kes Demam Kepialu Meningkat Kini 55 Kes Di KL Dan Selangor!

268 views
KUALA LUMPUR: Kes demam kepialu atau tifoid yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor meningkat kepada 55 kes setakat Rabu.Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kes masih dalam rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Setakat ini, pesakit berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan dalam kejadian ini.

"Jumlah keseluruhan peningkatan kes tifoid di Lembah Kelang sejak Ogos 2015 ialah 55 kes iaitu 37 di Kuala Lumpur dan 18 di Selangor," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiga kes akhir yang dilaporkan pada 25 Oktober, kesemuanya dari Selangor dan tiada kes baharu dilaporkan dari 26 hingga 28 Oktober.

Sejak peningkatan kes dilaporkan pada Ogos 2015, sebanyak 435 premis makanan telah diperiksa dan 80 telah ditutup kerana didapati tidak bersih.

"27 notis kompaun telah dikeluarkan kepada tuan punya premis makanan iaitu 25 kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan dua kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

"Seramai 2,229 pengendali makanan telah diperiksa dan dari jumlah ini, seramai 365 (16.4%) pengendali tidak mempunyai status imunisasi tifoid yang sah.

"Sehingga kini tiada pengendali makanan yang disahkan menjadi pembawa bakteria ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan lebih 30 peratus pekerja warga asing didapati tidak diberi vaskin tifoid.

Subramaniam menggesa pihak majikan untuk lebih bertanggungjawab dan tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan tidak mengambil serius hal berkenaan.

Dr Noor Hisham pada masa sama menasihatkan agar orang ramai memilih premis makanan yang bersih serta mengutamakan makanan yang panas dan baru dimasak.

"Pengusaha dan pengendali makanan pula diingatkan, bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa memastikan premis mereka dalam keadaan sanitari serta pengendalian makanan dibuat secara bersih dan selamat," tegas Dr Noor Hisham

Tambahnya, edaran risalah berkaitan penyakit tifoid serta pendidikan kesihatan kepada individu dan nasihat berkumpulan juga telah dipergiatkan di premis-premis yang diperiksa.

Maklumat berkaitan tifoid serta langkah pencegahannya boleh diperoleh dari laman sesawang myHealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my.

Tags: #Berita terkini malaysia #Demam Kepialu Kuala Lumpur Terkini #terkini 24 jam berita