Lemas Di Lombong Bauksit Bukan Kejadian Pertama

91 views

[ad_1]

KUANTAN – Tragedi lemas yang mengorbankan nyawa tiga kanak-kanak di kawasan bekas perlombongan bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, di Beserah di sini semalam, bukanlah pertama kali berlaku.

Insiden sama pernah berlaku pada penghujung Oktober tahun 2015, mengorbankan seorang remaja lelaki Nabil Ariff Shaari, 14, yang lemas ketika mandi bersama rakan di kawasan takungan lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh.

Bezanya, tiga kanak-kanak yang menjadi korban semalam tidak mandi, sebaliknya kejadian menyayat hati itu berpunca apabila seorang daripada mangsa, Salsabila Zuhairi, 12, terjatuh ke dalam kolam air bauksit itu ketika cuba mengambil seluar seorang daripada adiknya, Mohamad Aiman Hakimi, 10.

Demi sebuah persahabatan, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, dan kasih seorang lagi adiknya, Mahathir Mohamad Zuhairi, 7, cuba membantu, namun mereka seorang demi seorang ditelan ‘air merah’ di dalam kolam bauksit itu.

Persoalannya, sampai bila kolam dan kawah tinggalan kebanyakan pelombong haram selepas tempoh moratorium dikenakan oleh kerajaan awal tahun lepas akan terus menelan mangsa?

Ini kerana masih banyak lagi kolam dan kawah di daerah ini yang ditinggalkan begitu sahaja tanpa ditimbus, menjadikan ia sebagai ‘perangkap maut’ yang mampu meragut lebih banyak nyawa jika tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkuasa.

Bernama sendiri pada 20 Jan tahun lepas pernah menyiarkan laporan esklusif tentang lubang bauksit yang menjadi perangkap maut sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Di sekitar Kampung Bukit Kubang Badak dan Taman Satelit sendiri terdapat 40 hektar kawasan perlombongan dengan timbunan ‘bunga tanah’ serta kawah yang mempunyai kedalaman sehingga 20 meter yang tidak ditimbus kembali.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbar Othman berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

“Kebimbangan tentang kemungkinan berlaku kejadian ini telah lama kita suarakan dan akhirnya apa ditakuti itu terjadi juga.

“Ia tidak akan terjadi sekiranya ada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dari awal oleh pihak kerajaan yang menghalang perlombongan di kawasan berhampiran penempatan penduduk,” katanya.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menitahkan kerajaan negeri serta pihak berkenaan mengambil tindakan segera menimbus serta memagar kawasan terlibat.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata tragedi semalam itu tidak akan berlaku sekiranya bantahan penduduk tentang aktiviti perlombongan bauksit diambil kira.

“Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak kerana bermain di tempat kejadian kerana ia berhampiran kawasan perumahan mereka dan kita juga tidak boleh salahkan ibu bapa kerana tidak mengawasi anak mereka.

“Sebaliknya kita perlu salahkan pihak berkenaan termasuk pelombong yang rakus merosakkan alam, mengaut keuntungan dan dalam masa yang sama membiarkan natijahnya ditanggung penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan menimbangkan untuk menghentikan sepenuhnya aktiviti perlombongan bauksit.

Ini, katanya, kerana aktiviti itu terbukti bukan sahaja merosakkan alam sekitar, bahkan turut mengubah kawasan lombong tinggal menjadi perangkap maut kepada penduduk.- BERNAMA

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #Bauksit #bukan #kejadian #lemas #lombong #pertama