Mat Yo Bakal Beraksi Menentang Lions XII 4 November

191 views
Skuad Terengganu diberi khabar gembira di sebalik hubungan bersama Paulo Rangel ibarat retak menanti belah apabila Norshahrul Idlan Talaha dibenarkan beraksi bertemu Lions XII 4 November ini.Norshahrul yang sinonim dengan panggilan Mat Yo digantung lima perlawanan akibat kesalahan memijak pemain Kedah pada aksi Piala Malaysia 18 September lalu.

Penggantungan bermula bertemu Lions XII pada 26 September diikuti baki tiga perlawanan peringkat kumpulan dan satu perlawanan rasmi buat pemain ini.

Namun, Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis memutuskan hukuman Mat Yo dikurangkan kepada tiga perlawanan.

"Kita ucap terima kasih kepada FAM kerana membuat keputusan cepat setelah kita buat rayuan. Sekiranya Mat Yo dapat bermain, ia memberi peluang yang baik kepada Terengganu dalam perlawanan terakhir dengan Lions XII di Kuala Terengganu pada 4 November," kata Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam.

Perkhabaran ini bagaimanapun hadir pada hari yang sama ketika Rangel disahkan pulang ke Brazil dan tidak lagi beraksi bersama pasukan mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

"Rangel minta ditamatkan sebab dia ada masalah peribadi," katanya.

Jawatankuasa rayuan FAM turut menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Sarawak terhadap hukuman denda berjumlah RM80,000.

Terengganu perlu bersaing dengan LionsXII di Kuala Terengganu 4 November ini dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Andai menang, jumlah jaringan gol bakal jadi faktor penting untuk ke suku akhir.

Tags: #berita sukan terkini #Mat Yo #Norshahrul Idlan Talaha #sensasi sukan malaysia #sukan malaysia