Maulidur Rasul 1433H (2012) – Kenali Peribadi Rasulullah S.A.W

492 views
selawat nabi

Kenali Peribadi Rasulullah S.A.W dikongsi bersama sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H (2012)  moga Allah memberi kita Hidayah...amin
 

1)Kisah Rasulullah SAW dengan Sebiji Limau

“Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak.

Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan “Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya.”

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

2)  Rasulullah SAW Dan Wang 8 Dirham

 Suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud belanja. Dengan bekal wang 8 dirham, baginda hendak membeli pakaian dan peralatan rumah tangga. Belum lagi sampai di pasar, baginda mendapati seorang wanita yang sedang menangis. Nabi Muhammad s.a.w. sempat bertanya kenapa menangis. Apakah sedang ditimpa musibah? Perempuan itu memberitahu bahawa dia adalah seorang budak (hamba) yang kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Dia menangis kerana sangat takut didera oleh majikannya. Dua dirham dikeluarkan dari saku Rasulullah s.a.w. untuk menghibur perempuan malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham.

Baginda bergegas untuk membeli gamis, pakaian kesukaannya. Akan tetapi baru beberapa langkah dari pasar, seorang tua lagi miskin sedang berteriak berkata, "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah s.w.t. akan mendandaninya kelak." Rasulullah s.a.w. memeriksa laki-laki tersebut. Pakaiannya lusuh, tidak boleh lagi dipakai. Gamis yang baru dibelinya dilepas dan diberikan dengan sukarela kepadanya. Nabi Muhammad s.a.w. tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan Nabi Muhammad s.a.w. hendak segera pulang. Akan tetapi Nabi Muhammad s.a.w. harus bersabar. Kali ini Nabi Muhammad s.a.w. terserempak dengan perempuan yang diberi dua dirham tersebut mengadukan persoalan, bahawa ia takut pulang. Ia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat. Sebagai budak saat itu nilainya tidak lebih dari seekor binatang. Hukuman fizikal sudah sangat lazim diterima.

Rasulullah s.a.w. diutus di dunia untuk mengadakan pembelaan terhadap rakyat jelata. Dengan senang hati Rasulullah s.a.w. hantarkan perempuan tersebut ke rumah majikannya. Sesampainya di rumah, Rasulullah s.a.w. ucapkan salam. Sekali, dua kali belum ada jawapan. Salam yang ketiga barulah dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan. Ketika ditanya kenapa salam Baginda s.a.w. tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan sengaja melakukannya dengan maksud didoakan Rasulullah s.a.w. dengan salam tiga kali.

Selanjutnya Rasulullah s.a.w. menyampaikan maksud kedatangannya. Rasulullah s.a.w. mengantar perempuan yang menjadi budak tersebut kerana takut mendapat hukuman. Rasulullah s.a.w. kemudian menyampaikan, "Jika perempuan budak ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya." Mendengar ucapan Rasulullah s.a.w. itu penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pelajaran yang sangat berharga dari baginda Rasulullah s.a.w.. Kerana secara refleks mereka menyampaikan, "Budak belian ini merdeka kerana Allah s.w.t.."

Betapa bahagianya Rasulullah s.a.w. mendengar pernyataan itu. Rasulullah s.a.w. sangat bersyukur dengan wang 8 dirham mendapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga budak itu sendiri. Rasulullah s.a.w. berkata, "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya dari pada lapan dirham yang ini. Allah s.w.t. telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang budak belian."

Akhirnya, rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat bawah akan mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan. Allah s.w.t. berfirman dalam sebuah hadits Qudsi. "Bahawanya Allah menolong hamba-Nya, selama ia menolong saudaranya."

3)  Kisah Rasulullah SAW Dan Yahudi Buta

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah ada seorang pengemis Yahudi Buta, dari hari ke hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”.

Setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang Beliau wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi Buta itu.

Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, “anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?”, Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja”. “Apakah Itu?”, tanya Abubakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi Buta yang berada di sana”, kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “siapakah kamu ?”. Abubakar r.a menjawab, “aku orang yang biasa”. “Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku”, jawab si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri”, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW”.

Setelah mendengar cerita Abubakar r.a. pengemis itu terkejut lalu menangis sambil berkata, “benarkah demikian? selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia malah mendatangiku dengan membawakan makanan setiap pagi, ia begitu mulia…. ” isaknya. Pengemis Yahudi Buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

Tags: #1433h #kenali #maulidur #peribadi #rasul #rasulullah