Middlesbrough Tunjuk Manchester United Jalan Keluar

301 views

Manchester United (Man Utd) dikejutkan dalam saingan Piala Liga apabila disingkir Middlesbrough 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 dalam masa sebenar perlawanan pada awal pagi tadi.Barisan Louis van Gaal menampilkan barisan berbeza berbanding aksi BPL Ahad lalu dan masih mampu menguasai perlawanan pusingan keempat itu, namun Middlesbrough lebih garang melakukan ancaman ke pintu gol lawan sehingga hampir memecah kebuntuan menerusi Stewart Downing dan gol sendiri Daley Blind yang bernasib baik kerana didapati terlebih dahulu ofsaid.

Permainan berlangsung rancak dengan cubaan bintang muda Red Devils, Jesse Lingard menggegar palang gol sementara Sergio Romero turut dikerah menafikan dua percubaan menarik Boro.

Kegagalan Man Utd untuk memecah kebuntuan memaksa Wayne Rooney dan Anthony Martial dimasukkan sebagai pemain gantian, manakala Memphis Depay terus bergelut dengan prestasi kebelakangan ini kemudian direhatkan.


Jaringan tunggal Nathaniel Clyne sudah memadai buat Liverpool menjamin tempat di peringkat suku akhir selepas menundukkan AFC Bournemouth untuk menempah pertemuan dengan Southampton.

Jurgen Klopp gembira dengan corak permainan anak buahnya, yang disifatkan cukup penting menjelang pertemuan dengan Chelsea dalam aksi BPL hujung minggu ini.

"Kini kami mempunyai tiga hari untuk persiapan menghadapi Chelsea, itu juga sukar. Anda lihat apa yang pemain inginkan, bagi saya itu cukup penting.

"Dengan ketibaan pengurus baru mereka menerima banyak informasi baru dan mereka perlu bercakap mengenai perkara baru juga. Itu adalah normal mereka sedikit berhati-hati kerana cuba untuk memahami.

"Mereka mahu mematuhi arahan saya, tapi adakalanya mereka lupa kemampuan diri mereka sendiri. Kami perlukan kedua-duanya, namun kemenangan ini adalah langkah besar buat kami," kata pengurus berbangsa Jerman itu.

Southampton mara selepas menewaskan Aston Villa 2-1 sementara Manchester City gah dengan keputusan 5-1 ke atas Crystal Palace yang menyaksikan sentuhan Kevin De Bruyne semakin menjadi-jadi.

Tags: #berita sukan terkini #sensasi sukan malaysia #sukan malaysia