Negara Berpendapatan Tinggi Tapi Ada Rakyat Masih Guna Air Perigi..

292 views

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Perak, Pejabat Daerah Manjung dan Lembaga Air Perak mengambil tindakan segera menyalurkan bekalan air paip bagi kegunaan harian sembilan keluarga di Kampung Kedah, Sungai Puyu dekat Teluk Senangin di sini.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati penduduk-penduduk kampung tersebut terpaksa menggunakan air telaga yang kotor kerana ketiadaan bekalan air paip sejak mereka tinggal di kampung ini lebih 60 tahun yang lalu.

Air telaga yang dipam dari bawah tanah bukan saja berkelodak tetapi juga berwarna kuning dan hanya digunakan oleh penduduk-penduduk di sini untuk mandi. Jika penduduk di kampung ini menggunakan air telaga yang kotor itu untuk membasuh, pakaian mereka juga turut menjadi kuning.

Untuk minuman, memasak dan membasuh mereka terpaksa mengambil air bersih dari sebuah surau yang terletak lebih kurang 1km dari kampung berkenaan.

Masalah ini menjadi bertambah serius ketika musim kemarau kerana sumber air bawah tanah turut berkurangan dan telaga menjadi kering menyebabkan penduduk terbabit amat sukar untuk memperolehi keperluan itu walaupun untuk mandi.

Keadaan tersebut amat membebankan keluarga penduduk-penduduk di kampung itu terutama suri rumah yang terpaksa menjaga kebersihan dan kesihatan anak-anak, menyediakan makanan, membasuh pakaian dan sebagainya.

CAP berharap pihak berkuasa negeri ini memberi perhatian sewajarnya dan menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin. CAP kesal walaupun masalah keperluan asas ini sudah lama menimbulkan kesulitan kepada penduduk-penduduk kampung ini namun ia dibiarkan berlarutan hingga sekarang.

CAP bimbang jika masalah ini dibiarkan ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk. Justeru, CAP meminta kerajaan Perak menyediakan bekalan air paip kepada penduduk-penduduk kampung ini dengan segera.

* SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tags: #berpendapatan #masih #negara #Rakyat #tapi #tinggi