PELAKON Elizad Menepati Ramalan Penonton Juara Gempak Superstar

792 views

PELAKON Elizad menepati ramalan penonton apabila dinobatkan sebagai juara Gempak Superstar yang bersiaran secara langsung di Pinewood, Johor Baharu, malam Ahad.

Juara Gempak Superstar

Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Sharifudin, 32, menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula jatuh kepada Sherry Ibrahim sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 dan trofi.

Tempat ketiga dimiliki oleh Arja Lee manakala tempat keempat dirangkul oleh Soffi Jikan. Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Sementara itu, Nazim Othman terpaksa berpuas hati apabila namanya diumumkan sebagai pemenang tempat kelima dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Untuk konsert akhir ini, Sherry Ibrahim telah dipilih sebagai pemenang anugerah khas Terlajak Gempak Superstar yang diberikan oleh Datuk Aliff Shukri.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Raqim Ahmad.

Markah peserta diadili 50 peratus daripada juri tetap iaitu Ogy Datuk Ahmad Daud, Amy Mastura, dan Datuk Yusof Haslam selaku juri jemputan manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.

Konsert akhir Gempak Superstar disiarkan di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

 

Hiburan - Astro Awani

Tags: #Elizad #Gempak #juara #juara Gempak Superstar #Superstar