Penjaga Parkir Dipenjara Empat Hari Kerana Ugut Jurujual Di Plaza Kota Raya

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut lima jurujual kedai telefon dalam satu pergaduhan di sebuah kedai telefon di Plaza Kota Raya tiga hari lepas.
kotaraya gaduh

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairuddin Arbi @ Omar, 38, selepas dia mengaku bersalah menakutkan lima jurujual lelaki, Chiaw Wai Kit, 20, Lim Wai Hong, 27, Wong Weng Kong, 23, Liew Wai Chung, 21 dan Yong Haw Nam, 22 dengan mengugut mereka untuk memecahkan kedai di tingkat bawah Plaza Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini pada pukul 5 petang, Ahad lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada Ahad lepas dan turut memerintahkan dia dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman Majistret Saifulakmal menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan di tempat awam berkenaan.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna merah kelihatan tenang apabila didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes pada Ahad lepas, polis telah menerima panggilan telefon memaklumkan ada berlaku pergaduhan berkaitan penjualan telefon di plaza berkenaan.

Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan tertuduh dan siasatan mendapati tertuduh telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan dan ancaman kepada mangsa.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah hanya menjatuhkan hukuman berbentuk denda dengan alasan tertuduh yang masih bujang dan mempunyai penyakit gaut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain telah insaf dengan perbuatannya.

"Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh, mohon mahkamah memberi peluang kedua. Tertuduh berjanji tidak akan mengulanginya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesan emosi yang dialami kesemua mangsa.


Terkini - Astro Awani

Tags: #Majistret Saifulakmal #Plaza Kota Raya