Phahrolrazi Serah Notis Tukar Parti

229 views

ALOR SETAR - Adun Pangkalan Kundur, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Speaker Dun bagi memaklumkan  pertukaran keahlian parti disertainya.

Notis makluman penghijrahan ke Parti Amanah Negara (Amanah)itu diserahkan sendiri kepada Speaker, Datuk Md Rozai Safian di Wisma Darul Aman, di sini.

Phahrolrazi berkata, surat bertarikh 7 Oktober itu ditandatangani Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir.

“Surat ini diserahkan kepada Speker Dun Kedah supaya dapat mempertimbangkan kedudukan saya dalam Dun sebelum Mesyuarat Bajet Kedah 2016 berlangsung bulan hadapan,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, perpindahan itu mungkin menyebabkan kedudukannya dalam Dun yang selama ini bersama Pas akan berubah bersama kumpulan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR dan DAP.

“Perkara itu terserah kepada bidang kuasa Speaker Dun yang tentukan. Saya pun belum tahu di mana saya akan ditempatkan.

“Buat masa ini, perubahan kedudukan dalam Dun hanya melibatkan saya seorang iaitu dari Adun Pas kepada Amanah,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Ketua Pembangkang Dun, Phahrolrazi berkata ia masih kekal milik Pas kerana mendapat majoriti lapan kerusi pembangkang.

“Berbanding PH hanya ada tujuh kerusi iaitu satu dari Amanah, dua milik DAP dan empat disandang PKR,” katanya.

Sementara itu, Md Rozai mengesahkan menerima notis makluman itu kira-kira jam 11 pagi.

“Ya, saya menerima surat itu secara rasmi dari Phahrolrazi mengenai pertukaran keahlian parti disertainya dan akan pertimbangkan kedudukannya dalam Dun nanti,” katanya. - SH

Tags: #notis #parti #phahrolrazi #serah #tukar