Profil, Biodata, Foto Dan Fakta Lengkap Tentang Tan Sri Robert Kuok Hock Nien – 10 Orang Terkaya Malaysia 2015

TAN SRI ROBERT KUOK HOCK NIEN - 10 Orang Terkaya Malaysia 2015
Peniaga paling kaya di Malaysia,masih lagi ditempat pertama carta orang terkaya di Malaysia majalah Forbes tidak lain tidak bukan beliau adalah Tan Sri Robert Kuok Hock Nien. “Kunci kejayaan beliau adalah keberaniannya mencuba apa jua bidang perniagaan dan mempunyai tenaga pekerjanya yang jujur dan setia.” Kuok juga berkata kejayaannya adalah hasil kerja keras. "Jangan harapkan jalan singkat untuk berjaya. Robert Kuok merupakan seorang usahawan yang bersikap realistic dan beliau mengatakan bahawa “Setiap perniagaan ada risikonya, jadi jika anda takut buat sesuatu perniagaan, elok tinggalkan sahaja.”

LATAR BELAKANG
Robert Kuok Hock Nien lahir pada 6 Oktober 1923 di Johor Bahru,Johor. Beliau merupakan ahli perniagaan Cina Malaysia. Merujuk kepada Forbes nilai kekayaannya dianggarkan di sekitar $11.3 bilion pada tahun 2015, menjadikan beliau orang terkaya di Malaysia dan antara terkaya di Asia Tenggara. Kuok bermula dengan berniaga gula, beras dan tepung di tahun 1949. Kini beliau adalah orang utama syarikat multinational, Kumpulan Kuok. Kuok merupakan seorang yang pemalu pendiam dan menyendiri; kebanyakan daripada perniagaannya dipegang oleh beliau dan keluarganya.

Jumlah aset terkini: USD 11.3 billion (RM40.8 billion) 2015
Syarikat utama: Kuok Group / Kerry Group
Sumber kekayaan terbesar: Kelapa sawit, perkapalan dan hartanah
pengasas Hotel Shangri-la :

Selain daripada pelbagai jenis perniagaan sendiri di Malaysia, syarikat beliau mempunyai pelaburan di banyak negara di Asia. Kepentingan perniagaannya merangkumi daripada penanaman tebu di (Perlis Plantations Bhd), penapisan gula, pengilangan tepung, pemakanan binatang, minyak dan perlombongan hingga ke kewangan, hotel-hotel, hartanah, perdagangan dan pengangkutan (International Shipping Corporation, Transmile Group) dan penerbitan.

PEGANGAN TAN SRI ROBERT KUOK
"Beliau sungguh teliti, bercita-cita tinggi dan tak banyak cakap, mudah didampingi. Pertuturannya lemah lembut, sopan dan tertib. Kalau kita tak setuju dengan pendapat dia pun, kita pasti akan menghormati sikapnya," itulah gambaran yang diberi oleh Tan Sri Ramon Navaratnam mengenai Robert Kuok. "Kunci kejayaan beliau adalah keberaniannya mencuba apa jua bidang perniagaan, ditambah pula tenaga pekerjanya yang jujur dan setia" kata sumber yang enggan namanya disebut. Dalam satu wawancara eksklusif dengan majalah alumni National University of Singapore pada 2000, Kuok berkata kejayaannya adalah hasil kerja keras. "Jangan harapkan jalan singkat untuk berjaya. Jika kita berjaya, orang akan mula memperkatakannya bertahun-tahun. Mereka akan datang jika reputasi kita kukuh".

Bapanya, Kuok Keng Kang, seorang pendatang dari wilayah Fujian, China, membentuk Tong Seng & Company di Johor selepas memperolehi lesennya dari Sultan Johor. Beliau telah menguruskan Tong Seng sebagai syarikat yang masyhur dalam bidang pengedaran beras, gula dan tepung di samping dagangan am dan barangan sejuk. Kemudian beliau diberi kontrak membekal bahan mentah untuk kira-kira 50,000 tahanan perang Jepun di Johor ketika perang tamat. Perniagaan bapanya membolehkan Kuok belajar di sekolah aliran Cina dan Inggeris, termasuklah di Raffeles College sebelum pencerobohan Jepun. Beliau kemudian bekerja dengan Mitshubishi Dhoji Kaisha yang menjual garam, gula dan beras. Untuk memperbesarkan perniagaan keluarganya, Kuok mencontohi hubungan rapat yang dipupuk oleh bapanya dengan pemimpin Melayu Johor.

Titik permulaan empayarnya tercatat selepas Merdeka. Beliau menubuhkan Malaysia Sugar Manufacturing Company pada tahun 1958 dengan kerjasama Mitsui Bussan Kaisha Ltd dan Sugar Nissin Manufacturing. Pada 1964, beliau membina kilang gula pertama Malaysia, Malayan Sugar Manufacturing dengan mendapat kuasa monopoli dari kerajaan. Beliau turut membuka ladang tebu pertama negara, Perlis Plantation di tanah milik kerajaan dengan bantuan Felda.

Pada sekitar 1970an, ladangnya diluaskan ke Indonesia, menjadikannya salah seorang pedagang utama gula dunia. Urusannya mendapat kerjasama pihak berkuasa seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Amanah Saham Nasional yang membolehkan mengekalkan hubungan peringkat tertinggi dengan kerajaan.

Ini mendorong kerajaan meminta bantuan Kuok untuk menubuhkan Malaysia-Singapore Airlines (MSA) pada lewat 1960an serta syarikat perkapalan ulung negara, Malaysia Shipping Line Corporation pada 1968 ( kini MISC ). Beliau juga terbabit dengan penubuhan Bank Bumiputra Bhd dan Perbadanan Nasional Bhd yang dibentuk bagi menarik penyertaan orang melayu di bidang ekonomi. Pada 1974, beliau memindahkan operasinya dari Malaysia dan Singapura ke Hong Kong kerana sebab-sebab cukai. Ada pihak yang mengandaikan, langkah ini disebabkan 'wujudnya persaingan sengit di kalangan usahawan Melayu dan Cina di Malaysia, di samping keperluan memelihara kepentingan beliau sendiri'.

Di Hong Kong, Kuok menubuhkan Kerry Trading Company (kerry) dan melangkah ke bidang media serta hartanah. Kerry menguasai kira-kira 10 syarikat terbitan awam Hong Kong, termasuk South China Morning Post (SCMP), akhbar berbahasa Inggeris terunggul yang dibelinya dari Rupert Murdoch pada 1993. Beliau juga mempunyai kepentingan dalam The Bangkok Post. Dengan menggunakan SCMP, beliau mengambil alih TVE Holdings yang terbabit dalam bidang hartanah, hiburan, runcit dan penerbitan dengan harga RM570 juta(AS$150) pada tahun 1996. Beliau juga adalah ahli perniagaan Asia pertama membina rangkaian hotel lima bintang, Shangri-la.

Dari Hong Kong, Kuok beralih pula ke tanah besar China dengan melabur dalam bidang pembangunan hartanah, hotel, dagangan, komoditi, khidmat gudang dan Coca Cola. Ketika orang lain teragak-agak, Kuok memberanikan diri melabur di Negara bergolak seperti Indonesia pada tahun 1960an dan Filipina pada 1980an. Hasilnya, beliau berjaya menjalin hubungan kukuh dengan pihak berkuasa negara terbabit sejak empat dekat lalu. Beliau juga memupuk hubungan baik dengan ahli perniagaan Cina Asia seperti Lim Sioe Liong, Oei Hong Leong, Li Ka Shing, Tan Sri Khoo Kay Peng, Datuk Tan Chin Nam, Run Run Shaw, TT Tsui, Roberto Ongpin dan Chatri Sophonpanich dalam apa yang dikatakan 'Rangkaian Bamboo'.

USAHAWAN BERSIKAP REALISTIK
Tan Sri Robert Kuok, orang Malaysia yang terkaya, selalu di rujuk sebagai Sugar King(Raja Gula) tetapi beliau tidak menyukai gelaran ini dan dan menganggapnya tidak tepat.Sebaliknya beliau yang memiliki empire perniagaan, termasuk rangkaian Hotel Shangrila, lebih menyukai gelaran Raja Hotel.‘Saya suka hotel tetapi gelaran jolokan ‘Raja’ untuk saya, itu tidak tepat.’ beliau berkata ketika di interviu oleh CCTV. Di antara topik yang dibincangkan termasuklah kegiatan beliau dalam industri pelancongan, pengeluaran gula dan juga tentang ibu beliau. Kuok menyatakan sewaktu mulai mencebur diri kedalam industri pelancongan di negara China, kemudahan pelancongan di sana, terutama tandas, berada dalam keadaan serba kekurangan. Oleh itu ia tidak mampu menarik para pelancong asing.“Tetapi saya mengagakkan ketika itu negara China akan menjadi destinasi pelancongan yang hebat kerana memiliki barangan dan tempat tempat bersejarah yang banyak”. kata Kuok yang yang membina Hotel Shangri-la yang pertama di Hanghzou pada tahun lapan puluhan.

Hari ini terdapat 72 buah hotel Shangrila diseluruh dunia, termasuk 34 buah di negara China. Kini terdapat 45 buah lagi sedang dibina, termasuk 28 buah di negara China.Kuok berkata perhotelan, sebagai sebuah industri perkhidmatan bergantung kepada pekerjanya daripada pengurusan teratas hinggalah kepada pekerja terendah untuk memberi khidmat pelanggan. Oleh itu sejak memasuki industri ini, beliau sentiasa perihatin kepada keperluan pekerja.

“Tanggungjawab Lembaga Pengarah yang terbesar ialah kepada pekerjanya”, kata beliau. Ketika disoal sama ada beliau tidak setia kepada sesuatu industri kerana beroperasi dalam pelbagai industri seperti gula, perhotelan dan media, beliau menjawab tidak, kerana industri industri ini adalah saling berkaitan.Sambil mengingati tahun tahun awal dalam alam perniagaan, Kuok berkata ibu beliau Tang Kak Ji dan saudara saudara beliau telah menubuhkan syarikat Kuok Brothers Ltd sejurus selepas kematian bapa beliau pada tahun 1948.

“Setiap perniagaan ada risikonya, jadi jika anda takut buat sesuatu perniagaan, elok tinggalkan sahaja. Ini tiada masalah kerana pasti ada peluang yang lebih baik untuk anda. Tetapi, jika anda langsung tiada sikap berani, anda akan kekal miskin”, kata beliau.Kuok, yang telah dinobatkan sebagai orang Malaysia yang terkaya sejak tahun 2006 apabila ranking Forbe Asia diwujudkan, berkata beliau tidak suka pada wang. Bagaimanapun, beliau berharap syarikat syarikat beliau akan terus membuat keuntungan semoga pekerja pekerja dapat terus menikmati bonus.

“Bonus pekerja untuk tahun ini adalah pada paras yang cukup baik”, beliau menambah.Kuok yang fasih berbahasa Mandarin berkata ini kerana beliau seringkali diingatkan oleh ibunya supaya jangan melupai asal usul mereka.Dia mengakui ibu beliau sebagai orang yang paling banyak mempengaruhinya. Ibu beliau selalu menasihati supaya bersifat merendah diri dan membantu yang miskin, dan berharap beliau akan menjadi peniaga yang beretika baik.

Tags: #10 Orang Terkaya Malaysia 2015 #Datuk Tan Chin Nam #Li Ka Shing #Lim Sioe Liong #Malaysian Sugar King #Oei Hong Leong #pengasas Hotel Shangri-la Hotel #Perlis Plantations Bhd #Raja Gula Malaysia #Roberto Ongpin #Run Run Shaw #Tan Sri Khoo Kay Peng #TAN SRI ROBERT KUOK HOCK NIEN #TT Tsui

Comments are closed.

Author: 
    author