Radius Kawasan Operasi SAR Guru Besar Hilang Dikecilkan Mulai Esok

268 views
KUALA KUBU BHARU: Radius kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jashiah Rabu, mulai esok akan diperkecilkan dengan tumpuan diberikan kepada lokasi terakhir beliau dilaporkan dilihat.Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ia dibuat selepas melihat kepada faktor hutan yang tebal serta usia dan tenaga Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Keramat Satu itu, yang berusia 53 tahun.

"Kita perlu terus memperkembangkan lagi gerakan mencari dengan jarak yang munasabah kerana kami percaya beliau tidak mampu untuk bergerak dengan lebih jauh berdasarkan faktor fizikal hutan berkenaan yang mencabar serta usia mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu, Abdul Samah meninjau pusat kawalan operasi SAR di Hutan Simpan Bukit Kutu, di sini.

Jashiah yang dilapor hilang pada 23 Okt lepas, kali terakhir dilapor dilihat di sebuah ladang getah di kawasan pinggir Bukit Kutu, terletak kira-kira dua kilometer (KM) dari pusat kawalan operasi.

Beliau berkata, selain radius pencarian yang akan dikecilkan, operasi SAR mangsa turut diperhebat dengan tambahan anggota Batalion Pasukan Gerakan Awam (PGA), Sungai Perak bermula esok.

Ditanya sama ada wujud kemungkinan Jashiah diculik, Abdul Samah menolak andaian berkenaan sambil menambah bahawa tiada bukti konkrit untuk mengaitkan perkara itu dan kes masih diklasifikasi sebagai orang hilang.

Mengulas mengenai operasi SAR hari ini, beliau berkata kawasan pencarian meliputi tiga kilometer persegi, melibatkan 75 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor dan Gombak serta penduduk kampung berkenaan.

Ditanya mengenai usaha mengumpan mangsa dengan meletakkan bungkusan makanan di lokasi strategik sekitar lokasi pencarian, Abdul Samah berkata tiada petunjuk 30 bungkusan makanan yang diletakkan mulai semalam disentuh.

"Hari ini, seorang anggota paraglider menggugurkan 29 lagi bekalan makanan dari udara di kawasan hutan berkenaan," katanya.

Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumah pada petang 23 Okt dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 km.

Tags: #Berita terkini malaysia #Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Keramat Satu #Hutan Simpan Bukit Kutu #Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor #terkini 24 jam berita