Saya “BLACKLISTED” Bolehkah Memohon Pinjaman Bank? Tapi Bagaimana.

2705 views

Saya terpegun untuk membaca artikel ini. BOLEHKAH SAYA MENDAPATKAN PINJAMAN BANK WALAUPUN SUDAH KENA “BLACKLISTED”? Artikel yang ditulis oleh Tuan Wahi Abd Rashid. Penulisan yang membuat anda mudah untuk fahami dan hadam ke dalam minda. Moga penulisan dari Tuan Wahi Abd Rashid dapat membantu anda yang mengalami situasi “BLACKLISTED”.

Pinjaman Blacklisted

Tulisan dari Tuan Wahi Abd Rashid :-

Melihat kepada persoalan di atas, saya pasti, ramai yang ingin tahu apakah jawapannya. Saya juga tidak hairan sekiranya ramai di kalangan anda yang sudah tahu jawapannya. Walau bagaimanapun, masih ada yang bertanya, bolehkah seseorang itu mendapatkan pinjaman bank walaupun sudah disenarai hitamkan? Bagi yang masih ragu-ragu, biar saya tolong menjawapnya. Berdasarkan pengalaman, jawapannya adalah “tidak boleh”. Ya biar saya ulangi sekali lagi “tidak boleh”. Jawapan berkenaan pasti sangat mengecewakan mereka yang berura-ura mahu mendapatkan pinjaman bank, namun terkandas akibat telah disenarai hitamkan. Saya percaya, ramai yang sedang mengalami masalah ini. Persoalannya, tidak adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan?

Sebelum saya menjawabnya, mari kita perhatikan dahulu punca kepada masalah ini. Mengapakan seseorang itu disenarai hitamkan atau di dalam kata lain nama kita tersenarai di dalam rekod CTOS (Credit Tip Off Service) atau CCRIS (Central Credit Reference Information System). Sebagai makluman CTOS merupakan sistem rujukan yang digunakan oleh pihak bank untuk melihat status bankrupsi seseorang atau kes-kes tuntutan saman di mahkamah. Manakala CCRIS merupakan rekod hutang seseorang yang mencatatkan jumlah hutang, kadar faedah, caj-caj tertunggak dan rekod bayaran pada setiap pinjaman.

Secara umumnya terdapat 3 sebab mengapa nama seseorang itu boleh disenarai hitamkan. Ia boleh berlaku secara 1) sengaja, 2) tidak sengaja dan mungkin juga disebabkan 3) kesilapan teknikal.

1. Sengaja Tidak Membayar
Perkara ini berlaku apabila seseorang itu sengaja melewat-lewatkan pembayaran ansuran pinjaman. Untuk makluman anda, sekiranya seseorang itu gagal membayar ansuran bulanan melebihi satu bulan, pihak bank masih boleh menerimanya. Namun sekiranya sudah dua bulan tertangguh, pihak bank akan mengambil langkah lebih berhati-hati dan jika mencapai tiga bulan, nama individu berkenaan akan disenarai hitamkan secara automatik. Permohonan untuk mendapatkan pinjaman baru dijamin gagal dalam tempoh 12 bulan dari tarikh mereka disenarai hitamkan. Keadaan ini akan berterusan selagi mereka tidak menyelesaikan ansuran yang tertunggak itu.

2. Tidak Sengaja Terlupa Membayar
Perkara ini boleh berlaku, apabila seseorang itu menjadi penjamin kepada ahli keluarga atau rakan baik mereka. Tanpa di sedari, orang yang dijamin gagal membuat bayaran seperti yang telah ditetapkan. Secara automatik peminjam dan penjamin akan turut disenarai hitamkan. Ada juga kes di mana seseorang itu dinamakan sebagai penjamin tanpa pengetahuannya. Dalam kes ini, maklumatnya mungkin telah disalah guna oleh individu tertentu untuk mendapatkan kelulusan pinjaman orang lain. Mangsa hanya menyedarinya apabila mendapat surat peringatan daripada bank. Bagi mengelakkan masalah ini terjadi, anda dinasihatkan supaya tidak memberikan salinan dokumen peribadi sewenang-wenangnya tanpa mengetahui tujuan ia digunakan. Selain itu, jangan sesekali menandatangani dokumen yang anda tidak tahu isi kandungannya.

3. Kesilapan Teknikal
Perkara ini boleh berlaku apabila terdapat individu yang mempunyai nama yang sama. Selain itu, kesilapan juga boleh berlaku apabila sesuatu kes saman itu telah selesai tetapi tidak dikemaskini. Sekiranya perkara ini terjadi, maklumkan kesilapan itu kepada pihak yang berkenaan bagi mengemaskini maklumat mereka. Maklumkan kepada mereka status terkini anda beserta buktinya. Kebiasaannya mereka bersedia mengemaskini data tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Sekiranya diperhatikan kepada punca pertama dan kedua mengapa seseorang itu disenarai hitamkan, maka dapat disimpulkan bahawa ianya berlaku disebabkan kecuaian diri sendiri. Kata orang “pandai berhutang tetapi tidak pandai membayar”. Walaupun sesetengah pihak mengatakan mereka menjadi mangsa keadaan kerana menjadi penjamin orang lain, tetapi pada saya menyalahkan orang lain tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Pihak bank tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripada anda. Pada mereka sekiranya anda berani menjadi penjamin, bermakna anda juga berani menanggung beban sekiranya orang yang dijamin gagal membayar hutang.

Bagi mereka yang sedang berhadapan dengan masalah ini, mereka perlu mencari jalan penyelesaiannya. Sikap lepas tangan dan tidak mahu ambil peduli tidak akan menyelesaikan masalah. Berbincanglah dengan pihak bank bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang yang anda sedang hadapi. Sekiranya buntu, anda boleh meminta orang tengah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu menyelesaikan masalah anda.

Bagi mereka yang teraniaya (menjadi penjamin tanpa pengetahuan), pada saya ini juga disebabkan kecuaian diri sendiri kerana tidak menjaga dokumen peribadi dengan sebaik-baiknya. Untuk pengetahuan anda sebelum seseorang itu menjadi penjamin, mereka perlu mengemukakan salinan kad pengenalan dan beberapa dokumen peribadi terlebih dahulu. Pihak bank akan menghubungi anda untuk pengesahan maklumat yang diberikan. Sekiranya pinjaman diluluskan, anda dikehendaki hadir ke bank dan menandatangani surat perjanjian sebagai penjamin di hadapan pegawai bank bertugas. Salinan perjanjian juga akan dihantar kepada alamat rumah untuk simpanan anda. Sekiranya anda sentiasa mengawal dokumen dan maklumat peribadi dengan baik, perkara ini tidak akan terjadi. Ingatlah sekiranya nama kita sudah direkodkan sebagai penjamin, agak sukar untuk kita menarik balik walaupun kita bersumpah tidak tahu-menahu tentang perkara berkenaan.

Berbalik kepada soalan sebelum ini, adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan? Jawapannya senang sahaja, “ada”, tetapi anda hendaklah membersihkan nama anda terlebih dahulu (selesaikan hutang yang tertunggak). Setelah itu anda berkemungkinan “layak” dipertimbangkan untuk mendapatkan pinjaman. Dalam soal hutang, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengambil sikap lepas tangan. Apabila nama kita telah disenarai hitamkan, ia umpama dahi kita telah dicop sebagai orang yang tidak amanah. Cuba bayangkan sekiranya anda mempunyai wang yang banyak. Mahukah anda memberikan pinjaman kepada orang yang tidak amanah? Orang yang sukar membayar hutang? Secara logiknya, tidak ada sesiapa pun yang mahu berurusan dengan orang sebegitu. Begitu juga dengan pihak bank, mereka tidak akan memberikan pinjaman kepada orang yang culas membayar hutang. Jadi secara ringkasnya, sekiranya kita berhutang, kita harus bertanggungjawab untuk membayarnya. Jangan bermimpi hendak menambah hutang baru sekiranya hutang lama pun tidak terbayar.

Sungguhpun begitu, bagi sesetengah orang, mereka tidak pernah disenarai hitamkan, namun sukar mendapatkan pinjaman. Setiap bulan mereka membayar ansuran pinjaman tepat pada masanya. Tetapi setiap kali, mereka memohon pinjaman, ianya akan ditolak. Maka mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan mengganggap pihak bank memilih kasih.

Sebenarnya ramai yang tidak faham. Bank sebenarnya hanya memberikan pinjaman kepada orang yang mempunyai banyak wang. Bukan kepada orang yang tidak mempunyai wang. Pelik bukan? Sekiranya kita mempunyai banyak wang, mengapa kita perlu membuat pinjaman. Namun percaya atau tidak itulah yang berlaku sejak dari dahulu lagi. Secara logiknya, sekiranya anda mempunyai banyak wang, sudah tentulah anda hanya meminjamkannya kepada orang yang mempunyai banyak wang. Pada pendapat anda lebih baik meminjamkan wang kepada orang yang mampu membayar balik pinjaman daripada memberikan pinjaman kepada orang belum tentu dapat membayarnya.

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menunjukkan bahawa kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar pinjaman. Adakah kita perlu berlakon memandu kereta mewah dan memakai pakaian berjenama mahal semasa memohon pinjaman? Adakah jawatan dan taraf pendidikan kita yang tinggi dapat menyokong permohonan kita? Oh tidak, semua itu tidak menjamin permohonan kita akan diluluskan. Pihak bank tidak memandang semua itu.

Rahsia Senang Mendapat Pinjaman

Rahsia Senang Mendapat Pinjaman
Sebenarnya terdapat kaedah yang boleh digunakan untuk menunjukkan kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar balik pinjaman bank. Berdasarkan pengalaman, sekiranya anda bijak menggunakan penyata akaun semasa, peluang pinjaman anda lulus juga lebih tinggi. Penyata akaun semasa boleh digunakan sebagai dokumen sokongan yang menunjukkan kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman.

Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan. Saya percaya pihak bank sukar untuk memberikan pinjaman sekiranya komitmen hutang anda juga sudah sampai ke paras hidung (ansuran pinjaman hampir mencecah 70 peratus daripada gaji anda). Tetapi sekiranya anda memasukkan wang itu di dalam akaun semasa dan melakukan transaksi ulangan sebanyak 3 kali. Pada akhir bulan pihak bank akan menghantar penyata akaun semasa yang menunjukkan bahawa anda mempunyai wang masuk sebanyak RM6,000 sebulan (RM2,000 x 3 kali transaksi ulangan = RM6,000). Walaupun anda telah menggunakan kesemua wang di dalam akaun semasa untuk perbelanjaan sendiri, namun pihak bank masih beranggapan bahawa pendapatan anda adalah sebanyak RM6,000 sebulan (sebenarnya RM2,000 sahaja). Jadi mereka menganggap bahawa anda mempunyai wang yang cukup dan pasti mampu membayar balik pinjaman yang diberikan.

Sungguhpun teknik ini nampak mudah, namun ia tidak boleh disalah gunakan. Sekiranya pinjaman digunakan untuk tujuan yang betul, maka ia boleh menambahkan kekayaan kita. Namun sekiranya kita menyalahgunakan pinjaman yang diberikan, saya pasti ia akan menyusahkan hidup kita. Untuk maklumat lanjut sila dapatkan buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman terbitan True Wealth Sdn Bhd. Buku ini menerangkan secara terperinci bagaimana menggunakan akaun semasa untuk mendapatkan pinjaman samada untuk membeli rumah idaman ataupun untuk mengembangkan perniagaan. Buku ini boleh didapati di semua kedai buku terpilih di seluruh Malaysia. Buku ini juga boleh dibeli di internet melalui laman web www.wahiabdrashid.com.

Tags: #Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit #panduan loan bank #pinjaman untuk BLACKLISTED #rahsia bebas hutang 2016 #Wahi Abd Rashid