SPRM Akan Perkenal ‘livechat’, Pertingkat Komunikasi Dengan Masyarakat – Mustafar Ali

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) rancang perkenal 'livechat' di dalam 'mikrosite' Pusat Pencegahan Rasuah dan Etika (ACE), sebagai inisiatif pertingkat pengetahuan ramai mengenai jenayah rasuah.Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata mikrosite yang dipautkan di dalam laman web rasmi SPRM dijangka mula diaktifkan penghujung tahun ini.

"Kalau sebelum ini kami memberikan ceramah, memang itu 'live' tetapi sekarang ini kami berinteraksi secara maya. Orang (berada jauh)  beribu batu secara tidak langsung cepat mendapat maklumat," katanya dalam temu bual khas mengenai ACE.

ACE yang merupakan pusat khidmat nasihat dan rujukan amalan-amalan baik berkaitan pencegahan rasuah dilancar pada 6 Okt lepas sebagai satu inisiatif di bawah Program Transformasi SPRM.

Ia  bertindak sebagai satu platform menyediakan pengetahuan, maklumat, kesedaran mengenai rasuah, dan juga keperluan pencegahan rasuah bagi sektor awam dan swasta.

Mustafar berkata buat masa ini, SPRM telah menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), bagi berkongsi maklumat mengenai amalan terbaik, garis panduan dan kajian kes mengenai pencegahan rasuah dalam industri binaan.

Kerjasama serupa juga sedang dibincangkan dengan pemain industri kesihatan, katanya, dan menambah lebih banyak kerjasama serupa dengan pelbagai industri lain akan dijalin secara berperingkat.

"Apa yang akan ada di dalam ACE nanti, antara kandungannya ialah the maklumat asas mengenai apa itu rasuah, akibat rasuah, macam mana rasuah  boleh berlaku.

"Kami juga akan paparkan amalan-amalan terbaik yang dikongsi pemain industri tempatan dan antarabangsa melalui kerjasama yang kami jalinkan, ia boleh berbentuk sebagai akta, antaranya Bribery Act-UK, Foreign Corruption Practice Act-US," katanya.

Ditanya mengenai tahap kesedaran orang ramai terhadap jenayah rasuah, Mustafar menarik perhatian, berdasarkan kajian dilakukan pihaknya kesedaran masyarakat menunjukkan peningkatan secara drastik.

"Misalnya, 30.5 peratus pelajar istitusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2005 mengatakan sekiranya mereka ada peluang, mereka sanggup terima rasuah,

"Berganjak daripada situ dengan langkah-langkah yang kita buat, pada penghujung tahun lepas perubahan drastik berlaku iaitu hanya tinggal lebih kurang 10 sehingga 15 peratus sahaja daripada pelajar IPT yang mengatakan begitu," katanya.

Tags: #Berita terkini malaysia #Bribery Act-UK #Foreign Corruption Practice Act-US #SPRM akan perkenal 'livechat' #terkini 24 jam berita