Teka Teki Siapa Gabenor Bank Negara Malaysia Berakhir – Datuk Muhammad Ibrahim

Tamat sudah spekulasi siapa pengganti Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Banyak yang mencetuskan teka-teki sehingga 3 nama calon dijangka menjadi gabenor seperti yang di khabarkan sama sekali tidak benar. Sebaliknya Datuk Muhammad Ibrahim bekas timbalan gabenor yang dilantik secara mutlak oleh Yang Dipertuan Agong.

Gabenor bank negara malaysia baru

Datuk Muhammad Ibrahim yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu, berjanji akan menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Muhammad, yang merupakan Timbalan Gabenor, dilantik sebagai Gabenor baharu selama lima tahun, berkuat kuasa 1 Mei ini bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, 68, yang akan bersara pada 30 April.

"Saya menerima pelantikan sebagai gabenor dengan rendah hati. Saya melihatnya sebagai peluang untuk berkhidmat kepada negara. Saya akan berusaha untuk menjalankan tugas Gabenor BNM dengan sebaik mungkin," kata Muhammad dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata adalah penting bagi bank pusat mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari, terus fokus terhadap agenda strategik dan berusaha ke arah menyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Muhammad juga melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr Zeti di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara," katanya.

Sebagai Timbalan Gabenor sejak 2010, beliau menganggotai jawatankuasa Dasar Monetari dan Kestabilan Kewangan BNM serta bertanggungjawab dalam pembangunan pasaran kewangan dan operasi perbendaharaan termasuk pertukaran asing dan pengurusan rizab bank pusat.

Beliau turut bertanggungjawab terhadap pembangunan sektor perbankan dan insurans.

Muhammad juga berkhidmat sebagai pengerusi Agensi Akreditasi Kewangan; anggota lembaga pengarah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan); anggota Institut Akauntan Malaysia dan anggota panel daripada Kumpulan Wang Amanah Negara.

Beliau memegang Ijazah Sarjana dari Universiti Harvard dan Diploma Lepasan Ijazah Perbankan dan Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Diharap pengalaman beliau dapat membantu menbangunkan ekonomi matawang Malaysia.

-- BERNAMA

Tags: #Datuk Muhammad Ibrahim #Gabenor Bank Negara Malaysia #rizab bank pusat #Siapa Gabenor Bank Negara Malaysia