Tidak Adil Menentang Saya Berdasarkan Pandangan Seorang Perwakilan – Azmin

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menegaskan adalah tidak adil untuk menentang pentadbiran beliau di negeri itu hanya berdasarkan pandangan seorang perwakilan sahaja.Katanya, beliau masih memegang janji Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan bahawa DAP akan terus bekerjasama dalam kerangka kerjasama kerajaan Selangor kini.

"DAP Selangor atau hanya satu perwakilan? Boleh kamu (wartawan) jelaskan? Saya ambil pendirian yang telah dibuat dan dinyatakan oleh Lim Guan Eng bahawa DAP akan terus bersama-sama dengan PAS dan PKR untuk meneruskan khidmat dan memastikan kami boleh beri semula kepada rakyat berdasarkan janji kami pada 2013.

"Jadi itu merupakan keputusan DAP. Kamu tidak boleh ambil pandangan seorang perwakilan dan kamu menentang saya. Saya rasakan ia tidak adil," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas cadangan perwakilan DAP Selangor supaya melucutkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS atau DAP akan keluar dari kerajaan negeri itu.

Tegas Mohamed Azmin lagi, kerajaan negeri Selangor kini semakin kukuh sekali gus menafikan desas-desus yang kononnya berlaku kepincangan dalam pentadbiran beliau.

Mengulas berkenaan keputusan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti tidak akan menolak usul Belanjawan 2016, Azmin berkata itu merupakan pandangan Abdul Hadi dan bukannya berdasarkan perbincangan mereka bersama PAS.

"Jadi saya berpegang pada keputusan yang disampaikan secara rasmi kepada PKR. Saya tidak tahu, itu keputusan baharu. Keputusan yang disampaikan secara rasmi pada PKR melalui Timbalan Presiden dan Ketua Whip (PAS) kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah jelas," tegasnya.

Beliau yang turut mengakui wujud kelemahan di dalam blok pembangkang akibat kepincangan pendapat mahu perbincangan berterusan diadakan bagi mengukuhkan kembali blok pembangkang.

Tags: #Berita terkini malaysia #Menteri Besar Selangor #Mohamed Azmin Ali #terkini 24 jam berita