Tren KTMB Bertembung Di Km322 Di Kuala Kubu Baharu

320 views

Tiada Kemalangan jiwa dilaporkan untuk kejadian Tren KTMB Bertembung di Km322 di Kuala Kubu Baharu. Namun pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan bagaimana kejadian ini berlaku.

Dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini terbabit kemalangan selepas bergesel di Km322 di Kuala Kubu Baharu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Tren KTMB bertembung

Tren KTMB bertembung

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat KTMB Siti Badariah Wan Hanafi, kejadian itu melibatkan tren Ekspres Rakyat (Butterworth-Johor Bahru) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS)(Kuala Lumpur-Ipoh) pada jam 1.45 tengah hari tadi.

"Hanya tiga orang penumpang mengalami kecederaan ringan dan semua penumpang lain yang terlibat sedang dipindahkan menggunakan bas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca pergeselan itu masih dalam siasatan dan insiden itu telah menyebabkan beberapa perkhidmatan KTMB mengalami gangguan.

"Perkhidmatan KTM Komuter laluan Rawang-Tanjung Malim dibatalkan manakala semua perkhidmatan ETS tamat di Stesen Rawang dan para penumpang akan meneruskan perjalanan menggunakan bas dan sebaliknya," katanya.

Siti Badariah berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa berhubung insiden itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.

Mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan rawatan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya difahamkan terdapat kira-kira 510 penumpang berada di dalam kedua-dua tren itu ketika kejadian.

- Bernama

Tags: #Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) #Pengurus Komunikasi Korporat KTMB #Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) #Tren KTMB Bertembung