Tun Mahathir, Muhyiddin Mungkin Beri Keterangan Dalam Kes Saman Anwar Ibrahim

[ad_1]

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili Anwar memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan sebelum prosiding perbicaraan yang masuk hari kelapan itu bermula dan hakim itu kemudiannya mengarahkan Sivarasa memfailkan pernyataan saksi kedua-dua pemimpin itu sebelum 16 Feb.

Sivarasa berkata pihaknya turut memanggil Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Anggota Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk memberi keterangan dan mereka telah memfailkan pernyataan saksi kepada mahkamah.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mahkamah memberi masa seminggu untuk pihaknya berbincang sebelum membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu (memanggil Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi).

Katanya, kedua-dua pemimpin itu mungkin dipanggil bagi membuktikan dakwaan Anwar dalam kes saman berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi Anwar dipanggil untuk memberi keterangan.

Dr Mahathir meluangkan masa selama 40 minit bersama Anwar selepas prosiding kes itu manakala

Khairy dan Muhyiddin turut hadir di awal prosiding dan mereka meninggalkan mahkamah kira-kira 9.30 pagi.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO telah mengeluarkan perkataan memfitnah terhadapnya dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Feb 2008.

Anwar mendakwa perkataan memfitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ telah dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.

Prosiding di hadapan Azizul Azmi bersambung 20 Feb ini. — Bernama

[ad_2]

Tags: #beri #dalam #keterangan #Mahathir #muhyiddin #mungkin