Undi Pembangkang Bererti Menolak Pembangunan

41 views

[ad_1]

LUNDU – Penduduk Tanjung Datu dan Lundu akan rugi besar sekiranya mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tanjong Datu nanti, kata seorang pemimpin masyarakat Melayu, pemanca Bujang Jally Man.

Bujang, yang menjadi pemanca sejak 18 tahun lepas, berkata sekiranya mereka tidak memberi undi kepada calon BN Datuk Amar Jamilah Anu pada pilihan raya kecil itu, perbuatan tersebut samalah seperti menolak pembangunan daripada kerajaan dan mengetepikan kehidupan selesa untuk diri mereka sendiri.

Jamilah, balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, dicabar calon Parti Bansa Dayak (PBDS) Baru Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (Star) Johnny Aput pada pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan kematian Adenan pada 11 Jan akibat komplikasi jantung.

Bujang berkata tiada siapa dapat menafikan bahawa kerajaan BN telah membawa pembangunan pesat ke kawasan itu dan seluruh daerah Lundu serta sub-daerah Sematan.

“Sejak Tok Nan (Adenan) menjadi wakil rakyat Tanjong Datu, kita dapat menyaksikan begitu banyak pembangunan dan ini akan berterusan sekiranya wakil rakyat baharu juga adalah daripada BN,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, Jamilah perlu diberi majoriti besar untuk menunjukkan bahawa rakyat Sarawak daripada semua kaum berdiri teguh di belakang kerajaan BN.

“Walaupun Tok Nan tidak lagi menjadi wakil kami di sini, saya amat yakin bahawa sekiranya Datuk Amar Jamilah dipilih, beliau akan melakukan perkara sama iaitu melaksanakan apa yang telah dirancang Allahyarham suaminya,” kata beliau.

Bujang berkata dengan adanya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Anggota Parlimen dan Jamilah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, mereka dapat berganding bahu untuk memajukan lagi kawasan itu.

Menurut Bujang, Tok Nan telah memastikan semua kampung di kawasan itu mempunyai kemudahan perhubungan serta kemudahan asas seperti jalan raya serta bekalan air dan elektrik.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan di di pekan Lundu dan Sematan, termasuk pembangunan Tebingan Lundu dan Sematan serta pembinaan premis perniagaan seperti Medan Menjamu Selera Lundu dan Pusat Penjaja Bumiputera Lundu.

Katanya, pembinaan Jalan Telok Melano-Sematan yang sedang dilaksanakan dan merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo, adalah juga hasil daripada usaha Adenan kerana bekas Ketua Menteri itulah yang melobi kerajaan persekutuan supaya menjadikannya sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo.

Bujang berkata, dengan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri baharu, beliau agak pasti Abang Johari akan memajukan Telok Melano sebagai sebuah pusat pelancongan, yang sudah pasti akan menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi untuk penduduk di kawan berkenaan.

Oleh demikian, kata beliau, rakyat perlu melihat sendiri apa yang telah dirancang kerajaan untuk menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup mereka. – BERNAMA

[embedded content]

[ad_2]

Tags: #bererti #menolak #pembangkang #pembangunan #undi