Video Tular Hina TMJ: Mat Tere ‘kurang Cerdik’, Usah Diperbesarkan Isu – Keluarga

[ad_1]

KOTA BHARU: Keluarga seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhamad Zul Apis Baharom atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Tere merayu pihak berkuasa supaya tidak memanjangkan kes berhubung rakaman video yang didakwa menghina institusi diraja Johor.

Ia susulan penahanan lelaki berusia 29 tahun itu di hadapan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bharu, Kelantan petang tadi kerana didakwa mengeluarkan kenyataan jelik kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut sepupunya Yusrizam Ahmad, Mat Tere merupakan seorang yang tidak mempunyai akal panjang dan dikategorikan sebagai kurang cerdik serta sering menurut apa sahaja yang disuruh orang tanpa mengambil kira akibatnya.

Katanya, Mat Tere ditahan petang tadi setelah tersebarnya video berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Yusrizam dalam pada itu telah membuat laporan polis di IPD Kota Bharu petang tadi.

Mat Tere kini ditahan di lokap IPK Kelantan dan dijangka dibawa ke Johor Bharu untuk reman dan siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pihaknya menerima laporan berkaitan dengan penyebaran video menerusi Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan perkataan jelik pada Tunku Ismail pada jam 1.25 petang semalam.

Katanya, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, suspek yang dipercayai terbabit dengan video itu ditahan pada jam 3.50 petang tadi.

Hasil penahanan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit Ex Mobile bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya, selain boleh didenda RM1,000 selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Menurut Yusrizam lagi, Mat Tere yang sudah kematian ibu kini dijaga bapa saudara memandangkan bapanya juga berkeadaan sama seperti beliau.
.

[ad_2]

Tags: #hina #Kurang #tere #TMJ #tular #Video