Wah!!! Elaun ADUN Kelantan Naik Jadi RM8,000 Sebulan?

244 views

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Enakmen Saraan Ahli-ahli Pentadbiran dan Ahli-ahli Dewan Negeri (Pindaan 2015) yang menyaksikan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada RM8,000 berbanding RM4,600 sekarang.

Ahli pentadbiran seperti menteri besar dan timbalan menteri besar, speaker dan timbalan speaker, Exco dan timbalan Exco pula akan menerima kenaikan daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan disokong timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan mula berkuat kuasa pada Januari tahun hadapan. Ketua Pembangkang Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) ketika membahaskan enakmen berkenaan berkata elaun Adun sepatutnya dinaikkan kepada RM11,000 agar ia selaras dengan negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang dan Selangor.

"Kenaikan kepada RM11,000 itu adalah wajar memandangkan keadaan ekonomi semasa dan tanggungjawab berat yang dipikul oleh wakil rakyat pada masa kini dan sepatutnya wajar dipertimbangkan kerajaan negeri.

"Elaun khas kepada ketua pembangkang juga sepatutnya diwujudkan," katanya.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan utama mereka untuk tidak menaikkan elaun Adun kepada RM11,000.

"Ini kerana kerajaan persekutuan sentiasa membantu kerajaan negeri terutama berkaitan belanja mengurus pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan ketika menggulung perbahasan berkata pihaknya memahami apa yang disampaikan oleh pembangkang berhubung kenaikan elaun berkenaan.

Ahmad berkata bagaimanapun terdapat kekangan kewangan daripada kerajaan negeri pada ketika ini yang digunakan bagi pembangunan negeri.

"Elaun sebanyak RM8,000 adalah sesuai pada ketika ini memandangkan enakmen berkenaan tidak menyebut tempoh masa untuk menyemak kembali elaun berkenaan.

"Kita akan lihat kepada keupayaan dan keselesaan kerajaan negeri (dalam hal ini) dan kerajaan kekal dengan angka yang diberikan dalam dewan," katanya.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan sokongan semua 45 Adun. Kali terakhir elaun itu disemak adalah pada 2010.

Persidangan Dewan Undangan Negeri disambung esok lapor The Malaysian Insider

Tags: #Datuk Md Alwi Che Ahmad #Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan